REEN menafikan dia menyorokkan identiti kekasih hatinya kerana bimbang akan dirampas oleh perempuan lain. FOTO Mahzir Mat Isa
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON, Reen Rahim tidak pernah merahsiakan dia mempunyai kekasih hati dan dalam waktu sama tidak berniat untuk berkongsi dengan umum mengenai hubungan yang terjalin.

Pelakon utama filem KL Vampires itu juga menafikan dia menyorokkan identiti kekasih hatinya kerana bimbang akan dirampas oleh perempuan lain, seperti mana kenyataan diberikan oleh dramatis, Ruhainies sebelum ini.

Walaupun umum tahu akan hubungan cinta Ruhainies dengan ahli perniagaan muda yang menetap di London, Britain dan berkongsi saat indah di laman Instagram tetapi dia tidak pernah menunjukkan wajah buah hatinya itu.

Reen berkata, dia tidak bimbang mengenai perkara itu dan percaya kalau sudah jodoh pasti tidak ke mana.

Bagaimanapun, dia menegaskan merahsiakan identiti kekasih hati kerana beranggapan ia berkaitan peribadi dan tidak perlu untuk berkongsi dengan khalayak.

“Apabila bekerja dan berada di hadapan kamera memang saya Reen Rahim tetapi sebaik saja habis kerja, saya adalah Norashikin.

“Jadi biarlah hal peribadi saya simpan untuk diri sendiri dan orang terdekat.

“Seperkara lagi saya tidak mahu orang yang saya cintai itu menjadi perhatian sehingga ia menimbulkan rasa kurang selesa kepada dirinya mahupun orang sekeliling,” katanya.

Katanya, kalau benar dia selama ini merahsiakan mengenai hal cinta dan kekasih, sudah tentu umum tidak akan mengetahuinya langsung.

“Rasanya ada saja cerita saya kongsi siapakah lelaki yang berjaya menawan hati ini. Kalau tak percaya boleh ‘google’. Kalau nasib baik boleh tahu siapakah lelaki yang berjaya memenangi hati saya ini.

“Tapi kalau hendak kata saya sendiri yang kongsi dan tayang rasanya tidak. Kalau anda tanya sekarang siapakah lelaki itu, memang saya tidak akan cerita,” katanya.

Ditanya kemungkinan dia akan menamatkan zaman solo dalam waktu terdekat, kata Reen, walaupun keluarga kedua-dua belah pihak tahu akan hubungan mereka, tetapi setakat ini perancangan ke arah itu belum ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 5:59 PM