HENRY bakal muncul dengan filem Last Christmas bersama bintang ternama Emilia Clarke.
Georgie Joseph


AKTOR Henry Golding satu-satunya selebriti Malaysia yang disenaraikan sebagai TIME 100 Next oleh majalah TIME.

Berita gembira itu dikongsi Henry, 34, menerusi Instagram miliknya dan mengucapkan rasa syukur serta berterima kasih kepada Tan Sri Michelle Yeoh yang tidak putus memujinya.

“Satu penghormatan apabila menjadi sebahagian daripada TIME 100 Next bersama individu yang sangat istimewa. Terima kasih ibu Michelle Yeoh atas pujian” kata bintang utama filem Crazy Rich Asians itu.

Michelle yang turut membintangi filem terbabit bersama Henry menyifatkan aktor itu sebagai wakil Asia terbaik untuk terus bersinar di persada dunia.

“Etnik, latar belakang dan kejayaannya menjadi refleksi kepada hakikat bahawa kita satu bangsa yang berkongsi budaya global dan tidak lagi perlu bercakap mengenai kontroversi warna kulit,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, Michelle turut berkongsi rasa bangganya mengenali Henry yang tidak pernah lupa asal usul.

Menurut TIME, senarai 100 bintang sedang menyinar itu merujuk kepada individu berpotensi besar dalam pelbagai bidang. Ia termasuklah hiburan, perniagaan, sukan, politik, sains, kesihatan dan lain-lain.

Selain Henry, penyanyi Billie Eilish dan pelakon Hollywood Ezra Miller turut tersenarai dalam carta berprestij itu.

Perkembangan lain, jejaka kelahiran Sarawak dan berdarah Inggeris-Iban itu bakal muncul dengan filem Last Christmas bersama bintang ternama Emilia Clarke.

Filem itu akan menemui penonton bermula 28 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 6:17 PM