SYAFIQ (kiri) memaklumkan Safawi (kanan) pernah dibuli di sekolah suatu ketika dulu. FOTO Arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENYANYI, Syafiq Farhain, 25, berbangga dengan pencapaian junior sekolahnya, Safawi Rashid, 22, yang mempamerkan aksi terbaik menentang Indonesia dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil, malam tadi.

Syafiq berkata, pemain kelahiran Dungun itu adalah junior di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Katanya, sewaktu dia menuntut di tingkatan empat, Safawi memasuki sekolah itu di tingkatan satu dengan aktif bermain sepak takraw.

"Setahu saya, Safawi hanya menuntut seketika sebelum bertukar sekolah. Saya tidak tahu bagaimana dia mengubah sukan hingga berjaya sebagai pemain bola sepak," katanya pada sesi fotografi bersama Harian Metro di Studio The New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam usikan manja, Syafiq memberitahu rakannya pernah bercerita pemain kebanggaan Malaysia itu pernah dibuli suatu ketika dahulu.

"Saya hanya mendengar cerita daripada rakan dan kini amat berbangga dengan dirinya," katanya.

Syafiq menyifatkan Safawi sebagai jelmaan Allahyarham Mokhtar Dahari dan gembira dengan ledakan dua gol olehnya, malam tadi.

"Secara keseluruhan, skuad Harimau Malaya menunjukkan peningkatan prestasi. Walaupun tidak sama seperti era kegemilangan Allahyarham Mokhtar Dahari, tetapi kita gembira dengan semangat melawan pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 6:10 PM