PERSEMBAHAN, Bob Yusof pada Pusingan kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Plaza Alam Sentral. FOTO Mahzir Mat Isa.
PERSEMBAHAN, Bob Yusof pada Pusingan kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Plaza Alam Sentral. FOTO Mahzir Mat Isa.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Bob Yusof mengakui dia berasa tidak tentu arah selama seminggu terakhir sebelum tampil mempersembahkan lagu Anta Permana di pentas minggu kedua separuh akhir Muzik Muzik 34 (MM34) menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza, semalam.

Bob berkata, menggantikan Siti bukanlah mudah buatnya.

"Seminggu saya jadi tak tentu arah dalam melakukan persiapan untuk menyampaikan Anta Permana. Saya sangat takut dan gementar. Tuhan saja yang tahu perasaan saya kerana tanggungjawab ini adalah besar," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya bagaimana dia dipilih untuk menggantikan Siti, Bob berkata, itu adalah permintaan komposer, Hael Husaini dan pihak Siti sendiri.

"Hael yang mula-mula menyuarakan permintaan untuk saya menggantikan Siti lebih kurang tiga minggu lalu. Memang terkejut kerana sebelum ini saya ada mendengar ura-ura mengenai beberapa nama yang disebut bakal menggantikan Siti.

"Tapi, apabila dapat keputusan muktamad daripada pihak Siti dan Universal Music, saya terima dan cuba sedaya upaya untuk memasukkan jiwa saya ke dalam lagu popular ini," katanya.

Bob berkata, dia turut menerima mesej motivasi daripada Siti sendiri sebelum persembahan.

"Siti ada menghantar mesej kepada saya dah mengucapkan selamat berjuang. Dia juga berpesan kepada saya supaya banyakkan berselawat dan jadikan lagu itu seperti lagu saya sendiri.

"Hael pula memang tak putus-putus menghantar mesej bertanya keadaan saya," katanya.

Ditanya sama ada dia sekali lagi akan menggantikan Siti sekiranya Anta Permana berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34), Bob tidak dapat memberikan sebarang jawapan.

"Setakat ini, Siti dan Hael hanya meminta saya untuk mempersembahkan Anta Permana di separuh akhir MM34 sahaja. Tapi, Siti ada juga memberi gambaran bagaimana persembahan yang dimahukan sekiranya lagu ini berjaya ke AJL34," katanya.

Ini adalah kali kedua Bob menggantikan penyanyi asal. Sebelum ini, Bob juga pernah menggantikan Faizal Tahir dan mempersembahkan lagu Kasih Tercipta ciptaan Ajai di AJL22.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 11:27 AM
Kabinet Malaysia 2020