X
KARYA inspirasi daripada kehidupan bekas atlet paralimpik negara di pawagam mulai 5 Disember depan
KARYA inspirasi daripada kehidupan bekas atlet paralimpik negara di pawagam mulai 5 Disember depan
Oleh Sudirman Mohd Tahir


SEMPENA sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa yang bakal disambut pada 3 Disember depan, peminat berpeluang menyaksikan filem aksi pertama OKU, Garang di seluruh pawagam tanah air pada 5 Disember ini.

Filem terbitan Sakti Films Sdn Bhd dan arahan Kan Varren itu mengambil inspirasi daripada kehidupan individu sebenar bekas atlet paralimpik sukan lumba kerusi roda, Izam Abdul Hamid.

Menariknya, Izam yang turut membintangi filem itu pernah mewakili Malaysia ke Jepun dan Korea Selatan sekitar 1998 hingga 2005.

Varren berkata, dia terdetik mengangkat kisah hidup Izam apabila melihat sendiri kehidupan yang dilalui oleh golongan OKU di Bengkel Sampul Surat, Batu Pahat, Johor.

“Inisiatif filem ini adalah daripada penerbit, Dakshina Muriti yang juga pengurus di Bengkel Sampul Surat bagi mencari dana membina sebuah asrama baharu buat pelatih OKU di bengkel itu.

ANTARA babak menarik.
ANTARA babak menarik.

“Memandangkan sejak kecil hingga dewasa membesar di sana dan melihat sendiri kehidupan dilalui golongan OKU, saya terpanggil mengangkat kisah hidup Izam yang dikira sangat menarik kerana dia bekas atlet paralimpik kebangsaan dalam acara sukan lumba kerusi roda.

“Tambahan pula, masih kurang kisah mengenai OKU diangkat di layar perak. Saya harap filem ini akan mendapat sambutan segenap lapisan masyarakat sebagai tanda sokongan dan galakan kepada OKU,” katanya.

Menurut Varren, menerusi filem Garang, pihak produksi turut memberi peluang kepada golongan OKU untuk merasai pengalaman berlakon sekali gus menangkis tanggapan negatif masyarakat.

“Filem ini bertujuan memberi peluang kepada OKU berlakon. Di samping mencungkil bakat baharu, mereka juga dapat merasai pengalaman istimewa.

VARREN dan Dakshina (berdiri kanan) bersama barisan pelakon filem Garang.FOTO: Syarafiq Abdul Samad
VARREN dan Dakshina (berdiri kanan) bersama barisan pelakon filem Garang.FOTO: Syarafiq Abdul Samad

“Ia juga dapat menangkis tanggapan negatif masyarakat yang selalu melihat golongan ini sebagai orang tidak berdaya dan mempunyai kehidupan berbeza,” katanya.

Filem yang menelan belanja RM1.5 juta itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Pablo Amirul, Ahmad Maembong (OKU fizikal), Osman Omar (OKU fizikal), John Elijah (OKU fizikal), Chacha Maembong, Jalil Hamid, Izam Abdul Hamid (OKU fizikal) dan Shukur Abd Hamid (OKU fizikal).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:10 AM