JAAFAR menerima ugutan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati apabila dia menyebarkan foto isterinya di laman sosial.
JAAFAR menerima ugutan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati apabila dia menyebarkan foto isterinya di laman sosial.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAKON, Datuk Jaafar Onn, 67, menerima ugutan bunuh selepas membantu beberapa rakan artis yang menuntut bayaran persembahan nyanyian pada Khamis lalu.

Sumber polis berkata, pelakon sitkom komedi Cili Padi itu menerima ugutan terbabit menerusi Facebook Messenger pada jam 3 petang.

Katanya, sewaktu berada di Salak Selatan, Sungai Besi, Jaafar dikejutkan apabila seorang lelaki tidak dikenali mengirimkan mesej dengan bertanyakan sama ada dia takut mati atau sebaliknya.

"Lelaki itu yang menggelar dirinya Ayahanda tidak berpuas hati apabila pelakon terbabit menyebarkan foto isterinya di laman sosial.

"Wanita itu sebelum ini didakwa tidak melangsaikan bayaran beberapa artis tempatan sebaik menganjurkan persembahan dalam negara," katanya.

Kata sumber itu lagi, Jaafar yang berniat membantu rakan artis bertindak menyebarkan foto wanita itu selain meninggalkan komen pada hantaran yang diluahkan beberapa artis.

Akibatnya, lelaki itu berang lalu memberikan ugutan terhadapnya.

Bimbang keselamatan diri dan keluarga, Jaafar membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, jam 3.25 petang pada Khamis lalu.

Jaafar ketika dihubungi mengesahkan membuat laporan berkenaan namun enggan memanjangkan kes terbabit.

Portal berita akhbar ini pada 13 November lalu melaporkan enam artis mengadakan sidang media di Plaza Damas, Kuala Lumpur sebaik mendakwa ditipu seorang penganjur persembahan artis.

Selain Khaty Azean yang mendakwa diperdaya RM26,000, mereka yang lain adalah bekas anggota May, Mus, Rina Eva, Al Imran Jingga, Bandi Amuk dan Nik Putra.

Berita berkaitan

Khaty Azean minta penganjur lunas bayaran tertunggak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:33 PM