JALIL terpaksa ‘menganggur’ selama tujuh bulan kerana tidak menerima tawaran berlakon. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin


SIKAP berani bersuara kerana berasa terhina dengan bayaran RM1,500 sebagai watak utama dalam drama menjadi ‘hukuman’ buat pelakon berkaliber, Jalil Hamid, 61.

Sejak isu bayaran itu ditimbulkannya, Jalil terpaksa ‘menganggur’ selama tujuh bulan kerana tidak menerima tawaran berlakon.

Jalil ketika ditemui berkata, apa yang disuarakan itu adalah perkara wajar kerana tidak patut soal bayaran untuk pelakon lama dan berpengalaman sepertinya diperlekehkan.

“Walaupun isu bayaran untuk pelakon lama seperti saya sudah banyak kali disuarakan tetapi hingga kini masih tidak nampak perubahan.

“Bukan saya seorang yang bersuara tetapi ramai juga pelakon lama meluahkan perkara sama, namun situasi tetap sama. Alasannya, pelakon popular perlu dibayar mahal manakala pelakon ‘tak berapa ada’ seperti saya kena bersedia terima bayaran murah,” katanya.

Jalil berkata, antara alasan lain yang diberikan pihak penerbit ialah stesen TV membayar murah drama dihasilkan.

“Kata mereka (penerbit), harga dibayar stesen TV masih sama seperti dulu sejak drama diswastakan pada 1986. Keuntungan diperoleh kurang. Jadi bayaran tetap murah kerana mengambil kira faktor tertentu,” katanya.

Selama empat dekad bergiat aktif sebagai pelakon, Jalil sudah menerima lapan anugerah antaranya Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 1995 dan Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 1992.

Jalil tidak hanya dikenali sebagai pelakon berwatak berat, tetapi juga sinonim sebagai pelawak dan penyanyi.

Terbaru, Jalil kini menjalani penggambaran drama 24 episod berjudul Rindu Yang Terlarang lakonan Fikry Ibrahim dan Zahirah MacWilson.

Antara filem dan drama lakonan Jalil ialah Wanita Bertudung Hitam, Zombi Kampung Pisang, Bisik Pada Langit, Darling Sayang dan Ahmad Rosli Arwahkan Ketua Kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 11:53 AM