Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS sehari ditayangkan di 160 pawagam tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei, filem animasi Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, jumlah itu adalah di luar jangkaan.

“Inilah masanya untuk kita sama-sama bangga dengan produk filem Malaysia. Kami sangat terkejut dengan sambutan luar biasa ini dan menerima mesej daripada penonton yang teruja dan bangga dengan produk Malaysia yang mampu mengalahkan filem antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yassin berkata, walaupun banyak filem dari luar negara ditayangkan serentak dengan Ejen ali The Movie, ia masih mampu mendapat perhatian penonton.

"Banyak filem-filem hebat yang ditayangkan pada masa yang sama dengan filem kami, terutamanya filem dari luar. Filem ini adalah platform

pertama dan terbaik kami untuk terus mencipta yang lebih baik di masa hadapan," katanya.

Catatan kutipan itu juga sekaligus mencatat rekod baru bagi kutipan hari pertama untuk filem animasi tempatan sejak tayangan pertama yang bermula semalam.

Sehingga kini, Primeworks Studios mempunyai dua buah filem pecah panggung di Malaysia termasuklah Wira yang berada di tempat ketiga dalam carta filem Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 9:47 PM
Digital NSTP Subscribe