SHEILA berharap menerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR). FOTO Salhani Ibrahim
Norhayati Nordin


MESKIPUN berstatus ‘pelakon residen’ kepada sebuah syarikat produksi terkenal, ia tetap tidak menjamin nasib pelakon Sheila Mambo, 57, untuk mendapat tawaran berlakon.

Sheila atau nama sebenar Rusilawati Hasan, kini sudah sembilan bulan tidak menerima tawaran berlakon drama untuk stesen televisyen.

Menurutnya, dia tidak tahu apa masalah sebenar yang berlaku sehingga namanya tidak lulus di stesen televisyen untuk membintangi drama.

“Walaupun sedih sudah sembilan bulan tidak mendapat tawaran berlakon, saya sentiasa positifkan diri bagi meneruskan kehidupan.

“Apa yang berlaku ini adalah dugaan Allah kepada saya dan pada masa sama cuba tidak mahu menyalahkan orang lain,” katanya.

Katanya, biarpun tiada tawaran berlakon, dia masih bersyukur kerana Allah memberi kemahiran memasak dan membuat kek kepadanya.

“Dengan hasil berniaga makanan dan kek secara kecil-kecilan mengikut tempahan diterima, Alhamdulillah, boleh juga menampung hidup,” katanya.

Lebih 30 tahun berkecimpung dalam kerjaya seni, Sheila berkata, pada usia sekarang apa yang diharapkan kebajikan selaku pelakon lama tidak diabaikan.

“Saya tahu, pihak bertanggungjawab untuk industri hiburan tanah air ada mengesyorkan pemberian pencen kepada pelakon veteran.

“Untuk saya, sama ada dapat pencen atau tidak, apa yang lebih penting ialah semoga lebih peka terhadap kebajikan pelakon lama,” katanya.

Sheila berkata, dia juga menantikan rezeki untuk namanya disenaraikan sebagai antara pelakon yang menerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

“Tak tahulah dapat atau tidak, tetapi harapnya adalah rezeki saya. Pada usia kian meningkat ini, memiliki rumah sangat penting,” katanya.

Ditanya apakah dia bersedia dilabel ‘artis miskin’, Sheila berkata, untuk apa berasa malu hanya kerana status kemiskinan itu.

“Bagi saya, jika betul memang miskin kenapa perlu malu. Terimalah hakikat hidup yang sebenar itu lebih baik,” katanya.

Sheila yang berbakat dalam komedi, sebelum ini sangat dikenali menerusi drama di TV3 seperti Andainya Takdir, Andainya Takdir 2 dan Asalkan Dia Bahagia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:29 PM