WAWA bersyukur dapat melahirkan anak ketiga secara normal. FOTO Instagram Wawa Zainal
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Wawa Zainal selamat bersalin anak perempuan seberat 2.8 kilogram di Hospital Andorra Women & Children, Seri Kembangan, jam 5 petang hari ini.

Anak ketiga Wawa dan Aeril Zafrel itu diberi nama Ayya Soffya bersempena nama Masjid Biru di Istanbul, Turki.

“Alhamdulillah, terima kasih Allah untuk rezeki ini. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan saya.

“Saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan. Suami juga ada menemani sepanjang proses bersalin tadi.

“Keadaan bayi sihat. Insya-Allah, jika semuanya okey saya akan dibenarkan keluar dalam waktu terdekat,” katanya kepada Harian Metro.

Wawa juga melahirkan rasa syukur apabila dapat bersalin secara normal.

“Alhamdulillah, kelahiran kali ini pun dipermudahkan macam anak pertama dan kedua dulu.

“Saya juga akan berpantang macam biasa dan dibantu mak. Kebetulan mak memang ada di sini, jadi sedikit sebanyak membantu dan memudahkan,” katanya.

Terdahulu, Wawa sempat melancarkan produk kosmetik Baby Girl Limited Edition Soffya & Hayla minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 7:04 PM