Oleh Georgie Joseph


PELAKON dan ahli perniagaan, Datuk Seri Eizlan Yusof akhirnya mengumumkan bakal bernikah dengan wanita keturunan Serani dikenali sebagai Natasha Rosa Boudville pada 12 Disember ini.

Eizlan, 48, mendedahkan majlis perkahwinannya dengan wanita mualaf berusia 29 tahun itu akan berlangsung selama empat hari hasil bantuan dan tajaan rakan terdekat.

“Asalnya kami mahu buat majlis dalam kalangan keluarga dan rakan terdekat. Apabila jumpa beberapa kawan sebelum ini, mereka sendiri mahu masuk tajaan dan saya bersyukur ada rakan yang prihatin.

“Saya cuma uruskan soal hantaran dan urusan yang wajib. Tapi merekalah berusaha menguruskan persiapan lain yang besar termasuklah keseluruhan perjalanan majlis,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Eizlan juga mengakui jumlah sebenar kos perkahwinannya itu tidak diketahuinya sehingga sekarang.

“Mengenai kos saya sendiri tidak tahu disebabkan rakan rahsiakan daripada jumlah itu. Tidak pasti kalau cecah RM2 juta seperti khabar angin yang tersebar,” katanya.


EIZLAN sudah mengenali Natasha kira-kira empat tahun dan gembira apabila anaknya turut selesa serta merestui keputusan mereka. FOTO Luqman Hakim Zubir

Eizlan berkongsi, beliau sudah mengenali Natasha kira-kira empat tahun dan gembira apabila anaknya turut selesa serta merestui keputusan mereka.

“Kehadirannya membuatkan hidup saya sangat gembira. Sifatnya yang prihatin dan rapat dengan anak menyebabkan saya memutuskan untuk mengahwininya,” katanya.

Bulan lalu, Harian Metro melaporkan Eizlan enggan berkongsi lanjut mengenai gosip mengatakan beliau bakal berkahwin bulan ini. Beliau juga meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Eizlan juga bertindak mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai gosip kononnya majlis perkahwinan yang bakal berlangsung mendapat tajaan RM2 juta.

Terdahulu, Eizlan yang berkahwin dengan Vie Shantie Khan pada 2007 sah bercerai talak satu pada Februari 2015 lalu.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 11, Zareef Yusof, 9, dan Vie Zaalia, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 5:26 PM