AMENG kecewa tidak pernah mendengar langsung lagunya dimainkan di radio. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


"KALAU nak dikirakan memang kecewa juga dengan apa yang berlaku. Tapi dari sudut lain, saya tidak terlalu kecewa kerana faham dengan situasi sekarang,” kata penyanyi Ameng mengenai sambutan peminat terhadap single yang diterbitkannya sendiri berjudul Namamu Di Hati.

Biarpun menampilkan tema ketuhanan, lagu ciptaan Asfan dengan lirik tulisan Ahmad Fedtri Yahya yang turut menampilkan Nizam Laksamana dan Bagio Damasutra itu ternyata gagal menarik minat pendengar untuk popular seperti lagu nyanyiannya sebelum ini antaranya Sampai Hati dan Bourgenvilla.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 50, berkata, mungkin salahnya sendiri kerana berani mengambil risiko mengeluarkan wang sendiri berjumlah RM11,000 untuk menghasilkan single itu.

“Apabila saya buat lagu sendiri, kekurangan modal untuk buat promosi. Salah saya sendiri kerana keadaannya tak seperti dulu di mana lagu diterbitkan oleh syarikat rakaman Sony Music.

“Syarikat gah ini mempunyai modal yang besar dan cukup untuk buat promosi sesebuah lagu berbanding individu.

“Jika tak jalan pelan A, mereka boleh buat pelan B atau C. Tapi saya hanya boleh buat setakat yang termampu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selain itu dia masih mempunyai barisan lagu lama yang masih popular sekali gus membayangi single terbarunya ini.

“Peminat masih lagi menyukai lagu lama dan inilah yang buat lagu baru gagal diterima. Bersaing dengan lagu sendiri dan bukannya lagu artis lain.

“Stesen radio pula bukannya nak mainkan lagu saya semua dan pastilah akan pilih lagu yang disukai ramai.

“Jadi saya faham situasi yang berlaku ini. Lagipun trend stesen radio sekarang pun berbeza. Dulu dia akan mainkan lagu terlebih dahulu tapi sekarang langsung tak bagi peluang,” katanya.

Ameng berkata, biarpun menghasilkan lagu baharu, dia tidak pernah mendengar langsung lagunya dimainkan di radio.

“Lazimnya kalau dulu mereka akan cuba juga mainkan selama sebulan atau dua bulan. Namun sekarang sangat lain.

“Itu satu sebab saya kecewa tapi pujuk hati sendiri kerana masih lagi ada lagu lama yang dimainkan di radio.

“Peminat pula masih sukakan lagu lama berbanding lagu baharu,” katanya.

Secara jujur, Ameng mengakui tidak berminat untuk menghasilkan single baharu dan hanya menumpukan untuk menerima undangan menyanyi.

“Insya-Allah kalau ada rezeki lebih, baru saya fikir nak hasilkan single seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:42 PM