DIGANGGU ketika dia berada di aras paling bawah bangunan lama yang juga lokasi filem terbabit.
Ramlah Zainal


PELAKON terkenal Johan As’ari mengakui berdepan pengalaman menyeramkan di lokasi penggambaran filem Banglo No 99 yang berlangsung tahun lalu.

Menurut Johan, kejadian misteri itu berlaku ketika dia berada di aras paling bawah bangunan lama yang juga lokasi filem terbabit.

“Sebenarnya, babak saya sudah selesai dan ditemani ‘runner’ yang juga kru produksi ketika itu.

“Pada hari kejadian, saya dan kru itu turun ke aras paling bawah bangunan untuk melihat babak pelakon Harun Hashim menarik mayat pada jam 3 pagi,” katanya yang ditemui selepas tayangan filem Banglo No 99 yang berlangsung di Damansara Utama, baru-baru ini.

Menurut Johan, secara tiba-tiba keluar bacaan ayat suci Al-Quran dan tazkirah pada nada dering telefon bimbitnya.

“Saya terkejut kerana ia bukan nada dering telefon bimbit saya mahupun kru terbabit.

“Bulu roma meremang dan saya terus terdiam seketika hingga nada dering itu berhenti.

“Saya ingatkan diri bahawa makhluk halus memang wujud di alam ini.

“Apatah lagi, di kawasan bangunan lama yang sudah ditinggalkan terbiar sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun, kata Johan, dia tidak serik untuk berlakon dalam filem genre suspens thriller mahupun seram selepas ini.

“Terus-terang, kejadian menyeramkan itu memang sukar dilupakan.

“Pada masa sama, saya juga menimba pengalaman berbeza kerana bercinta dengan ‘hantu’ dalam filem ini,” katanya.

Selain Johan, filem Banglo No 99 arahan Khir Mohd Noor menampilkan barisan pelakon seperti Harun Hashim, Datuk Yusof Haslam, Hafeez Mikail, Bkay Nair dan Camelia Natasya kmn.

Filem edaran Xtreme 5 Productions Sdn Bhd itu akan menemui penonton bermula 12 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 2:58 PM