NANA berterima kasih dengan sokongan orang ramai dalam drama Satukan Rasa.
NANA berterima kasih dengan sokongan orang ramai dalam drama Satukan Rasa.
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon Siti Nordiana Alias atau Nana, 34, tidak melihat golongan ibu tunggal sepertinya lebih menjadi tarikan suami orang. Nana berkata ada juga ibu tunggal yang menjadi pilihan lelaki bujang. Ia lebih menjurus pada hati dan perasaan.

"Sebenarnya, perkara begini berkait rapat dengan soal hati dan perasaan. Susah juga nak elak tetapi masih boleh berfikir mana baik dan buruk sebelum buat keputusan.

"Apapun, sama ada ibu tunggal atau anak dara bagi saya masing-masing ada tarikan dan cita rasa tersendiri," katanya.

Ditanya mengenai pengalaman diganggu suami orang yang menagih cintanya, Nana berkata setiap hari dia berkerja dengan ramai individu dengan status berbeza.

"Sebagai selebriti, saya memang ada bekerja dengan suami orang dan lelaki bujang. Apa yang saya buat, selalu berdoa semoga Allah SWT kuatkan hati ini.

"Selain itu, saya juga selalu niatkan dalam hati memang nak bekerja dan pada masa sama sangat menjaga pandangan mata," katanya.

Menurut Nana, jika dia bekerjasama dengan suami orang kebanyakan mereka terdiri daripada rakannya termasuk isteri pun ada di lokasi.

"Jadi, apabila kami bekerja saya sendiri kena pandai jaga batasan. Apatah lagi, dengan status ibu tunggal dugaan datang setiap hari.

"Tanggungjawab sebagai ibu tunggal agak berat tetapi saya cuba pastikan jangan buat orang bercakap mengenai saya.

"Saya juga elakkan perbualan negatif orang mengenai saya termasuk fikir banyak kali sebelum muat naik apa sahaja gambar dan status di media sosial," katanya.

Mengulas dirinya yang semakin banyak dikaitkan dengan gosip cinta, Nana melihat perkara itu asam garam dunia hiburan.

“Ini sebahagian daripada hidup anak seni. Apapun, kena pandai jaga diri kerana sebagai selebriti saya kena tunjukkan contoh yang baik kepada peminat,” katanya.

Berkongsi sokongan padu peminat terhadap gandingannya dengan penyanyi Khai Bahar dalam drama Satukan Rasa, Nana berterima kasih dengan reaksi positif orang ramai.

Nana bagaimanapun tidak menafikan ada juga penonton yang kurang berpuas hati dengan penamat drama terbabit apabila babak bahagia watak Indah Ruhaila dan Jai Bakry hanya disiar selama tujuh minit.

"Ramai peminat saya dan Khai inginkan lebih banyak babak mesra di antara kami disiarkan dalam episod akhir pada Khamis lalu," katanya memberitahu tidak ada perbincangan untuk drama itu ada sambungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 5:11 PM