ANDY Flop Poppy turut membuat persembahan. FOTO: Aswadi Alias
Ramlah Zainal


KONSERT Tribute Sang Gendang yang berlangsung Jumaat dan Sabtu lalu bukan saja acara amal mengimbau kenangan bersama pemain dram legenda, Allahyarham Yazit Ahmad, tetapi berjaya menghimpun lebih 200 penyanyi serta pemuzik terkenal tanah air yang kebanyakannya rakan seperjuangan Allahyarham.

Konsert anjuran Zahid Ahmad Project Studio (ZAPS) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Panggung Anniversary itu menampilkan penyanyi, pemuzik dan kumpulan popular antaranya Datuk Hattan, Aris Ariwatan, Ameng, Nash, Man Kidal, Andy Flop Poppy, Jay Jay, Tomok, Hujan, Gersang, Ekamatra serta Dayangku Intan.

Anak bongsu Yazit, Shafiqa Nurli, 29, ketika ditemui berkata, dia dan keluarga bersyukur kerana konsert ‘tribute’ untuk arwah bapanya itu berjaya direalisasikan.

“Alhamdulillah, saya sangat terharu kerana ramai rakan artis dan pemuzik yang rapat serta mengenali bapa ketika hayatnya dulu turun padang menjayakan konsert ini.

“Saya, abang dan bapa saudara, Zahid hadir mewakili keluarga kerana ibu masih dalam tempoh edah selepas dua bulan pemergian arwah bapa,” katanya.

MAN Kidal bersama Hattan.

Mengulas jumlah kutipan konsert amal dua hari itu pula, kata Shafiqa, keluarganya tidak meletakkan sebarang sasaran.

“Ia dianjurkan atas nama persahabatan dan kami terima berapa saja jumlah kutipan konsert ini. Kemunculan ramai artis dan pemuzik yang juga rakan rapat bapa menjayakan konsert secara percuma sudah cukup bermakna buat kami,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun hujan lebat dan kesesakan lalu lintas, konsert yang bermula jam 8 malam itu tetap berlangsung seperti direncanakan Jumaat lalu.

Konsert pada malam pertama menampilkan persembahan mantap Hattan, Ameng, Aris Ariwatan, Datuk Nash dan Yasin Sulaiman yang menyampaikan rangkaian lagu popular masing-masing.

Tidak ketinggalan persembahan Andy Flop Poppy dan Kugiran Masdo dengan lagu popular, Dinda.

Rata-rata penonton yang hadir juga terhibur dan turut sama menyanyi dengan artis yang membuat persembahan.

Ternyata, hujan lebat tidak menghalang penonton yang nampaknya tidak berganjak dari tempat duduk mereka sehingga persembahan berakhir kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Penonton juga turut sebak dengan tayangan video majlis pengebumian Yazit yang dihadiri ramai rakan artis pada 26 September lalu.

Yazit yang juga bekas pemain dram Search meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur. Allahyarham meninggalkan balu, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurli, 29.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:20 AM