FREDDIE anggap desakan bukan pendapat majoriti komuniti perfileman tempatan. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


PRESIDEN Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menganggap tindakan enam persatuan yang mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Ahli Lembaga Pengarah Finas meletak jawatan sebagai tidak mencerminkan pendapat majoriti komuniti perfileman tempatan.

Freddie berkata, seperti yang diketahui umum, jika dimasukkan persatuan lain iaitu persatuan perfileman daripada penerbit China, India, Sabah dan Sarawak serta badan-badan penggiat filem yang lain, jumlahnya lebih daripada 30 persatuan.

“Ini termasuk persatuan yang terbesar dalam industri perfileman iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

“Apa yang dilakukan oleh enam persatuan ini sudah jelas tidak mewakili pendapat majoriti penggiat filem dan televisyen yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan pandangan mereka,” katanya.

Menurutnya, industri perfileman harus berterima kasih kepada Menteri KKMM apabila menyelesaikan masalah permohonan kenaikan harga pembelian program televisyen oleh RTM sebanyak 10 hingga 60 peratus yang dihadapi oleh penerbit rancangan televisyen selama lebih tiga puluh tahun.

“Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Menteri didesak meletak jawatan pula. Ini suatu tindakan yang tidak memberi gambaran benar mengenai pendapat pemain industri yang kebanyakan mereka bersyukur dan berterima kasih kepada menteri atas pencapaian ini.

“Finas kini sedang mengalami transformasi dan penambahbaikan di era kerajaan baru dan mungkin sesetengah pihak tidak faham proses ini kerana terbiasa dengan struktur lama.

“Saya rasa Menteri KKMM lebih memahami apa yang perlu dilakukan sama ada merombak hierarki atau menyusun semula struktur Finas. Semua penggiat filem dan televisyen harus sokong usaha ini dan tidak benarkan diri mereka dipengaruhi oleh kumpulan minoriti dalam industri,” kata Freddie.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 7:49 PM