AHMAD Izham (tengah) pada Majlis Pelancaran Ejen Ali Misi Optimum di Sunway Pyramid, Kuala Lumpur.
Norhayati Nordin


KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar yakin kutipan terkini filem animasi popular, Ejen Ali The Movie melebihi sasaran.

Izham berkata, berapa jumlah kutipannya belum dapat dimaklumkan kerana hanya akan diketahui hari ini.

"Berdasarkan sambutan penonton dan orang ramai yang hadir pada siri jelajah filem, saya yakin jumlah kutipan akan melebihi sasaran.

"Setakat ini, saya gembira dengan jumlah kutipan yang sudah dikumpulkan filem Ejen Ali The Movie iaitu sebanyak RM13 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan bermula 28 November lalu," katanya.

Menurut Ahmad Izham lagi, dia sangat terharu dengan sambutan diterima memandangkan filem berkenaan sarat dengan mesej positif untuk tatapan masyarakat.

Terdahulu, Ahmad Izham hadir pada majlis pelancaran Ejen Ali Misi: Optimum di Sunway Pyramid yang bermula 10 Disember hingga 15 Disember ini.

Turut dilancarkan latihan ejen mata, koleksi setem edisi terhad oleh Pos Malaysia dan patung kerekter mainan Ejen Ali.

Setem edisi terhad itu memaparkan 10 karakter utama daripada filem Ejen Ali The Movie yang dijual pada harga RM35 setiap set.

Sebanyak 2,000 unit setem edisi terhad filem Ejen Ali dan diharapkan dapat memupuk semangat kanak-kanak untuk mengumpul setem.

Selain Ahmad Izham, majlis pelancaran itu dihadiri Ketua Pegawai Penjenamaan WAU Animation, Fuad Md Din dan Naib Presiden Kanan Pemasaran Pos Malaysia, Schrene Goh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 8:05 PM