KUMPULAN Bumi Putra Rockers (BPR) pada sidang media Konsert Jelajah 1000 Tahun Takkan Mungkin di Perkarangan Amerin Mall, Balakong.
Ridzuan Abdul Rahman


“AYAT bubar amat sensitif dan kekalutan berlaku apabila perkataan ini digunakan," kata penyanyi kumpulan Bumiputra Rockers atau BPR, Joey mengenai isu hangat yang melanda kumpulan rock terbabit baru-baru ini.

Joey, 54, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemain gitarnya, Awang, 56, baru-baru ini di mana BPR akan dibubarkan sebaik selesai mengadakan konsert Jelajah 1000 Tahun Takkan Mungkin di seluruh negara bermula 28 Disember ini.

Awang dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat bersama berikutan anggota BPR berdepan masalah kesihatan, faktor usia selain memiliki kerjaya lain.

Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi berkata, bubar membawa implikasi buruk di mana nama BPR tidak boleh digunakan lagi selepas itu. Kalau berpecah itu biasa di mana kami boleh bergabung semula dan buat reunion. Tapi bubar ini membabitkan kontrak. Apabila bubar, maknanya kontrak pun bubar.

“Apabila kontrak bubar, royalti pun bubar. Kemudian hakcipta pun bubar. Saya pandang benda ini dari segi undang-undang," katanya pada sidang media Konsert Jelajah 1000 Tahun Takkan Mungkin BPR yang berlangsung hari ini.

Menurut Joey, takrifan bubar membuatkan semua pihak yang terbabit dalam produksi album BPR tidak boleh menuntut hak masing-masing.

“Mereka tak boleh tuntut royalti lagu atas alasan bubar. Ramai pihak yang kena tempias nanti. Bukan saja kami berlima, kesannya juga akan terkena pada syarikat rakaman Life Records nanti. Itulah implikasi yang saya tak nak tanggung. Saya tak larat, saya boleh keluar dan mereka boleh cari penyanyi lain. Anggota BPR pun pernah jadi pengiring artis lain," katanya.

Sementara itu, Awang pula mengakui kesilapannya apabila mengeluarkan kenyataan mengelirukan kepada pihak media.

“Sebenarnya kita tak pernah cakap bubar dan hanya cakap atas faktor usia. Mungkin selepas konsert nanti masing-masing dengan masalah kesihatan yang dihadapi, akan mula berehat," katanya.

Sementara itu, Konsert Jelajah 1000 Tahun Takkan Mungkin BPR akan membuka tirai pada 28 Disember ini di Roof Top, City Plaza, Johor Bahru.

Mereka seterusnya akan menjelajah beberapa negeri lain seperti Melaka, Kedah serta Sabah dan Sarawak.

BPR turut menyimpan hasrat beraksi di Istana Budaya, Kuala Lumpur untuk persembahan penutup pada hujung tahun depan.

Kumpulan Uks pula akan ditampilkan sebagai artis undangan konsert terbabit.

Tiket berharga RM50 dan RM70 (termasuk sesi meet & greet) boleh didapati menerusi laman web www.bumiputrarockers.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 11:52 PM