ONE Nation Emcees buktikan boleh bertahan dalam GV6. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syanty Octavia Amry


JIKA sebelum ini ramai beranggapan One Nation Emcees (ONE) tidak akan bertahan dalam program Gegar Vaganza musim keenam (GV6), namun pada minggu kesembilan persembahan, mereka berjaya menjadi juara mingguan.

Menjadi artis berkumpulan pertama dalam GV yang memenangi juara mingguan, kumpulan yang dianggotai Mimi Fly, Sabhi Saddi, Jojo Fly dan Kozae ini mengakui sangat gembira dan teruja.

Bagi mereka, kemenangan itu sudah cukup menggembirakan dan satu pencapaian dalam kerjaya seni ONE sendiri.

“Kami sangat gembira dan perasaan itu lebih gembira daripada berjaya ke final apatah lagi dengarnya GV2019 adalah yang terbaik pernah dianjurkan.

“Berentap dengan penyanyi-penyanyi legenda sedia ada juga sudah cukup memberikan kepuasan dan penghormatan kepada kami,” kata Mimi mewakili teman-teman.

Mimi berkata, selepas 11 tahun berada dalam bidang seni, mereka mengakui sedikit lega kerana berjaya membuatkan ramai peminat daripada tidak suka akhirnya menyokong kerjaya seni mereka.

“Kami sangat terharu atas sokongan diberikan peminat, bermula daripada ramai yang tidak suka hinggalah bertukar suka kami masih di sini dengan konsep yang dibawa.

“Begitu juga pada awal pembabitan kami dalam GV, memang terdengar kata-kata yang kami tidak akan bertahan lama malah kami sendiri pun merasai perkara itu.

“Namun, kami tidak menyangka bertahan hingga ke minggu kesembilan. Ini menunjukkan peminat sudah boleh menerima muzik dan persembahan yang kami bawa,” katanya.

Dalam pada itu, kumpulan ini meletakkan harapan untuk menjadi juara selepas memenangi juara mingguan.

“Pada awal kami hanya fikir fokus memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu namun perasaan ingin menjadi juara mula terasa selepas menang juara mingguan.

“Bak kata orang, alang-alang sudah menang, biarlah menang sebagai juara dan kami berharap peminat sentiasa mendoakan kami,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi padangan mereka mengenai artis yang layak menjadi juara dan berada di top 3, Mimi berkata, masing-masing melihat Hady Mirza, Jatt Ali dan Naqiu Boboy antara yang berpotensi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:05 PM