NORMAN dan Memey
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“HUBUNGAN saya bersama Abby ketika ini 100 kali ganda lebih baik berbanding ketika kami masih suami isteri. Alhamdulillah, kami menunaikan umrah bersama buat kali pertama,” kata Norman Hakim, 43.

Norman bersyukur apabila dia dan isteri, Memey Suhaiza, 31, dapat menunaikan umrah bersama keluarga besar termasuk bekas isteri, Abby Abadi, 42, dan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria.

Menurutnya, perancangan melaksanakan ibadat itu dibuat sejak Januari lalu dan ia berjalan lancar.

Seramai 13 ahli dua keluarga itu berangkat ke Makkah baru-baru ini dan kembali ke tanah air semalam.

“Biarpun ibadat ini kali ketiga secara peribadi, ia bertambah manis apabila ditunaikan bersama keluarga Abby buat pertama kali. Syukur tidak terhingga apabila Allah mengizinkan kami semua ke sana,” katanya.

Menurut Norman, dia dan Abby melalui fasa kehidupan sama seperti pasangan lain yang berkahwin dan bercerai.

“Apabila sedar kesilapan lalu, kami bermuhasabah dan kembali kepada fitrah. Walaupun bukan lagi suami isteri, kami memiliki tiga anak bersama dan ukhwah itu perlu terus dibina,” katanya.

Menurut Norman, sebaik Abby berkahwin dengan Muhammad Faizal pada 2015, mereka merancang banyak percutian bersama untuk mengeratkan ukhuwah.

“Perpisahan pada masa lalu bukan bermakna anak menjadi mangsa. Saya akui ketika menjadi suami Abby, saya khilaf menunaikan tanggungjawab dan ia sudah pun diubah,” katanya.

Dalam pada itu Norman bersedih apabila anak Abby, Muhammad Danial Firman yang berusia dua bulan meninggal dunia, baru-baru ini.

Katanya, dia diberitahu perkara itu oleh Muhammad Faizal sewaktu mereka berada di Makkah.

“Apabila dimaklumkan berita sedih itu, kami seperti tidak percaya. Saya sedih dan memeluk Faizal, semoga dia tabah dengan ujian Allah,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Abby melahirkan bayi pramatang seberat 535 gram pada 27 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:10 AM