IKHWAN gemar bereksperimen dengan muzik. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
IKHWAN gemar bereksperimen dengan muzik. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan komposer, Ikhwan Fatanna agak kecewa apabila lagu nyanyiannya kurang mendapat perhatian berbanding lagu yang dicipta untuk penyanyi lain.

Menurutnya, dalam lagu sendirilah dia dapat bereksperimen dan sajikan kelainan yang ada pada dirinya.

"Memang kecewa apabila lagu nyanyian saya kurang mendapat perhatian. Di situlah saya letakkan banyak usaha dan di situ jugalah saya bereksperimen untuk muzik saya," katanya kepada Harian Metro.

Kata penyanyi lagu Tik Tok dan Bismillah itu, dia hasilkan lagu untuk dirinya mengikut kehendak sendiri.

"Lagu yang saya hasilkan untuk diri sendiri kebanyakannya mengikut seperti mana yang saya mahukan. Kalau saya hasilkan untuk artis lain, saya hasilkan karya seperti mana yang pendengar mahukan," katanya.

Dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu ketuhanan serta berunsur keagamaan, Ikhwan akan mencuba nasib menghasilkan karya mengikut kehendak pendengar.

"Identiti lagu-lagu saya adalah yang berunsurkan keagamaan. Mungkin kerana itulah lingkungan pendengar saya tidak sebesar pendengar lagu-lagu yang lebih bersifat sejagat.

"Insya-Allah tahun depan saya akan hasilkan lagu berkonsepkan cinta seperti yang pendengar hari ini mahukan, tapi pada masa sama, saya akan selitkan mesej positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 2:38 PM