X
FOTO ihsan IG Ruhainies
FOTO ihsan IG Ruhainies
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Ruhainies yang kini berada di Manila, Filipina tersekat di negara itu selepas penerbangannya yang dijadualkan ke Kuala Lumpur semalam dibatalkan akibat letusan gunung berapi Taal.

Ruhainies ketika dihubungi berkata, dia bersama kedua ibu bapanya terpaksa mencari alternatif lain dengan membeli tiket penerbangan baru dari Lapangan Terbang Antarabangsa Clark mencecah RM15,000.

"Saya sepatutnya pulang ke tanah air jam 9.30 malam tadi. Namun, kerana letusan gunung berapi itu, kesemua penerbangan dibatalkan. Saya dimaklumkan, pihak syarikat penerbangan hanya boleh mengatur untuk pembelian tiket baru selepas seminggu.

"Mahu atau tidak, saya bersama ibu dan ayah terpaksa mencari alternatif lain dengan membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Clark yang terletak dua jam dari Manila.

“Disebabkan pada saar akhir, jadi harga pun mahal hingga mencecah RM15,000. Tapi, saya tidak ada pilihan lain kerana harus pulang juga sebab ada komitmen kerja lain yang perlu diselesaikan,” katanya kepada Harian Metro.

Ruhainies berkata, penerbangan baru itu bagaimanapun akan transit di Korea Selatan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada tengah hari tadi waktu tempatan.

“Pesawat ini bukanlah penerbangan terus ke Kuala Lumpur. Dari Cebu, kami akan transit di Korea Selatan terlebih dahulu.

“Harapnya, perjalanan ini akan dipermudahkan kerana daripada apa yang saya dengar, penerbangan di sebelah petang dan malam dari Clark juga akan dibatalkan," katanya.

Ditanya mengenai situasi di lapangan terbang saat dimaklumkan kesemua penerbangan dibatalkan kerana letusan gunung berapi, Ruhainies memaklumkan bahawa semua penumpang terdiam.

"Ketika situasi itu berlaku, semua terdiam. Mungkin kerana terlalu panik dengan berita yang dimaklumkan. Apa yang boleh saya kongsikan, ia adalah satu pengalaman yang sangat memenatkan untuk saya sekeluarga," katanya.

Ruhainies berada di Manila sejak 10 Januari lalu bagi menghadiri acara Anugerah Televisyen Asia ke-24 yang berlangsung di Manila.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 1:14 PM