OUTBREAK.

DIANGGOTAI lima anak muda dan kacak bergaya, kumpulan atau boyband yang menggelarkan diri mereka sebagai Outbreak berharap laluan kerjaya seni membuahkan hasil lumayan.

Ditubuhkan sejak dua tahun lalu, Outbreak yang terdiri daripada Zaim Ajmal, 23, Shakirin Shah,18, Zareef, 19, Hakeem, 20, dan Alif Firdaus, 18, itu menyimpan impian yang menggunung bagi menempatkan diri dalam industri seni hiburan.

Zaim yang mewakili kumpulan itu berkata, penubuhan boyband itu dilihat cukup unik apabila masing-masing mempunyai warna suara yang berbeza selain mereka tidak mengenali antara satu sama lain pada asalnya.

“Kesemua lima anggota tidak mengenali antara satu sama lain namun dikumpulkan oleh syarikat pengurusan kami, Be Good Music dan bermula dari situ kami berkenalan.

“Lebih menarik, kami dibawa bercuti untuk saling mengenali secara mendalam dan faham perangai masing-masing supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Mengakui boyband di Malaysia masih kurang mendapat perhatian, Outbreak percaya kehadiran mereka mampu mencipta kelainan sekali gus membuatkan ramai pihak membuka mata.

“Diakui boyband di Malaysia tidak semeriah di luar negara, namun kami ingin membawa perubahan serta ingin tampil berbeza.

“Kami yakin Outbreak mampu mencipta satu keunikan baru dalam industri seni hiburan tempatan dengan bantuan pihak pengurusan yang tidak henti berusaha mencari ruang dan peluang buat kami,” katanya.

OUTBREAK mampu mencipta satu keunikan baru dalam industri seni hiburan.

Dua tahun boyband ini dibangunkan, baru kini mereka tampil dengan single sulung, Terima yang dianggap cukup istimewa.

“Lagu ini bercerita mengenai hubungan kita dengn Tuhan, sahabat dan kekasih. Jadi, setiap individu boleh memahami isi yang tersurat di dalam lagu ini.

“Dua tahun menunggu single sulung kami anggap ia sebagai sebuah penantian yang berbaloi kerana kami perlu menyesuaikan diri dan keadaan.

“Tambahan pula, lima suara digabungkan menjadi satu adalah cabaran yang perlu ditempuh supaya tiada yang terlebih atau terkurang,” katanya.

Ditanya mengenai adakah imej dan muzik dibawa meniru kumpulan One Direction, Outbreak berkata, mereka sememangnya menjadikan kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena itu sebagai idola.

“Tidak dinafikan, kebanyakan peminat menyamakan kumpulan kami dengan One Direction. Kami okay dan tiada masalah kerana kami juga membawakan muzik pop dalam setiap lagu kami.

“Apabila ada yang menyamakan kami bersyukur kerana kumpulan itu adalah idola setiap anggota kumpulan Outbreak. Kami ingin menjadi hebat seperti mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 4:50 PM