PENOLONG Setiausaha dan Pengerusi Biro Keahlian Seniman, Rena Tan (depan) dan Pengerusi Biro Veteran & Senior, Ayati Tasrip serta Pemeriksa Kira Kira Seniman, Sharifah Muhamad bergambar dengan Wan Chik Daud.
Ridzuan Abdul Rahman

MENGHIDAP kanser payu dara tahap empat, kencing manis, darah tinggi dan lumpuh membuatkan bekas pembaca berita popular RTM dan pelakon, Wan Chik Daud, 80, hanya mampu terbaring di rumah.

Wan Chik mengalami serangan angin ahmar ringan dua tahun selepas pemergian suaminya yang juga pelakon, Allahyarham M Rajoli pada 2010.

Wan Chik kini tinggal bersama pembantu rumah, Fauziah yang menjaganya dengan baik di rumahnya di Lembah Keramat, Kuala Lumpur sejak tujuh tahun lalu.

Penderitaan Wan Chik mendapat perhatian Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang melakukan kunjungan ke rumahnya semalam.

Timbalan Presiden Seniman, Zuraini Kassim berkata, kunjungan dibuat menerusi program Ziarah Prihatin anjuran mereka.

"Saya bersama Ahli Jawatankuasa Seniman dan Persatuan Satria mahu melihat sendiri keadaan Wan Chik yang popular sebagai pembaca berita RTM suatu ketika dulu,” katanya.

Menurut Zuraini, Wan Chik mempunyai empat anak di mana dua daripadanya menetap di Amerika Syarikat dan Singapura. Dua lagi anaknya menetap di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Wan Chik dijaga dengan baik oleh Fauziah, namun dia perlu memakai lampin pakai buang kerana sukar bergerak ke tandas.

“Pendengarannya masih jelas dan penglihatan juga masih terang. Dia juga masih boleh bercakap tetapi dengan nada suara perlahan seakan berbisik. Dia masih mengingati dan mengenali kawan-kawan yang datang menziarah semalam," katanya.

Zuraini berkata, Wan Chik juga amat terharu dengan kunjungan mereka sehingga menitiskan air mata.

Wan Chik pernah berlakon dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem Do Re Mi ketika zaman kegemilangan Studio Merdeka di Kuala Lumpur.

Selepas itu, dia meneruskan kerjaya bersama RTM sehingga bersara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 5:16 PM