Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Hans Isaac (kiri) dan Puteri Balqis. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali, Instagram Puteri Balqis
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Hans Isaac (kiri) dan Puteri Balqis. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali, Instagram Puteri Balqis
Syafil Syazwan Jefri


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan membantu pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis Azizi dengan menyalurkan bantuan kewangan yang bersesuaian dengan keperluannya.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, Finas akan membantu membayar keperluan Balqis kepada pihak ketiga untuk memastikan bantuan kewangan itu digunakan sebaik mungkin.

"Kami akan bantu mana yang boleh. Contohnya jika dia perlukan bantuan kewangan untuk bayaran persekolahan, kami akan bayarkan yuran sekolahnya. Kalau dia perlukan bantuan kewangan untuk perubatan, kami akan bayar kepada pihak hospital," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hans, pegawai Finas kini sedang berusaha untuk menghubungi ibunya, Norashikin Mohd Aziz namun masih gagal.

"Setakat ini, pihak kami cuba menghubungi dua nombor telefon ibunya, namun masih lagi belum dapat sebarang jawapan. Saya serahkan kepada pegawai-pegawai kami untuk laksanakan," katanya.

Menurut Hans, dia juga berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif di beberapa stesen TV tempatan untuk membuka peluang lakonan buat Balqis.

"Balqis adalah pelakon yang sangat berkaliber dan berbakat besar. Saya sudah berbincang dengan beberapa Ketua Pegawai Eksekutif stesen TV untuk membuka peluang lakonan kepadanya, sekiranya keadaan kesihatannya mengizinkan," katanya.

Diminta mengulas mengenai tindakan Puteri Balqis menarik diri pada saat akhir daripada terbabit dalam telefilem Tiada Galang Ganti terbitan syarikat produksi, A Aida Production Sdn Bhd, Hans berkata, pihak produksi juga perlu menyelidik keadaan kesihatannya sebelum meneruskan dengan penggambaran.

"Produksi juga perlu melihat terlebih dahulu keadaan kesihatannya kerana saya faham, sekiranya artis menarik diri di saat akhir dan penggambaran perlu ditunda, ia akan membabitkan banyak perkara terutamanya kos," katanya.

Hans menegaskan bahawa pihaknya juga tidak akan memaklumkan kepada media untuk membuat liputan sekiranya majlis penyerahan sumbangan berlangsung.

"Saya tak mahu ada gambar saya berikan sumbangan dan sebagainya. Pada saya, itu bukan duit saya dan itu adalah duit kementerian. Jadi, kami sebagai agensi yang membantu menyalurkan dari belakang tabir," katanya.

Kisah Puteri Balqis kembali mendapat perhatian selepas Harian Metro berkongsi kisahnya menjual buku puisi di jalanan bagi menampung kehidupan bersama ibunya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk menghubungi ibunya bagi mendapatkan reaksi mengenai keadaan Puteri Balqis tidak berjaya apabila dia tidak pernah menjawab panggilan dan membalas mesej.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:04 PM