SARAH Fazny. FOTO Hafiz Sohaimi
Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Sarah Fazny, 25, mendedahkan dia sanggup menolak tawaran daripada beberapa jenama dan klinik kosmetik yang mahu menajanya melakukan pembedahan plastik untuk mengecilkan rahang.

Sarah yang menggelar diri 'Cik Petak' kerana bentuk wajahnya enggan membuat sebarang perubahan pada wajah hanya kerana inginkan tajaan semata-mata.

"Ada jenama kosmetik yang mahu menaja saya, namun bila berbincang dengan lebih mendalam, mereka nak saya buat pembedahan plastik dan kecilkan rahang.

"Saya tolak dan pertahankan prinsip diri untuk tidak melakukan pembedahan plastik dan biar saja wajah asal yang memang begini sejak lahir," katanya kepada Harian Metro.

Sarah yang juga bekas peserta program realiti Mentor Legend berkata, dia bagaimanapun menghormati kehendak syarikat dan jenama kosmetik berkenaan.

"Setiap syarikat dan jenama ada fokus tersendiri dalam perniagaan mereka. Jadi, saya faham kalau mereka ingin fokuskan kepada bentuk rahang dan mungkin, bentuk rahang saya yang paling jelas dalam ramai-ramai artis.

"Saya tahu memang satu kerugian bila menolak. Namun, apabila difikirkan semula, duit boleh dicari tapi kalau pembedahan plastik yang mengubah wajah itu, dibawa sampai ke mati," katanya.

Terbaru, Sarah atau nama sebenar Maishara Fazny Mahadzir kini dalam proses mempromosikan lagu barunya berjudul Mantankan Saja yang dilancarkan sekitar Disember, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 5:19 PM