Ibu Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz di fitnah.
Sudirman Mohd Tahir


IBU pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi iaitu Norashikin Mohd Aziz menafikan dakwaan segelintir pihak dia mendapat sumbangan RM100,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Norashikin ketika dihubungi berkata, dia terkilan dan kecewa dengan tuduhan itu selain menyifatkan ia fitnah.

“Terlalu banyak fitnah saya dapat sampai kata Seniman dan Finas bagi RM100,000. Saya tak tahu nak cakap apa lagi.

“Belum habis satu, timbul pula cerita lain. Nasib baik saya menjual buku, kalau memang kerja saya minta tolong saja, inilah jadinya. Orang pasti akan mengungkit balik.

“Pihak yang keluarkan cerita itu bermotifkan sengaja dan memandai-mandai. Setiap hari saya sibuk menjual dan menguruskan penghantaran buku. Berhentilah fitnah kami,” katanya kepada Harian Metro.

Terbaru, timbul pula cerita mengatakan anaknya sengaja menyahaktif akaun Instagram.

“Betul, Aqish (Puteri Balqis) tutup Instagram,” katanya.

Dia kecewa dan sedih apabila terlalu banyak mendapat mesej di Instagram berkenaan apa yang berlaku. Apatah lagi semuanya tidak betul.

“Jadi, buat sementara waktu dia tidak mahu ada Instagram. Dia mahu fokus pada diri sendiri dan menjual buku. Ini saja yang kami ada sekarang. Tapi, jangan pula anggap Aqish tutup Instagram sebab nak lari. Itu tidak sama sekali. Tak elok tuduh kami macam itu.

“Kami tidak ke mana-mana, masih lagi menjual buku macam biasa. Kami lebih tenang tanpa sosial media. Jangan risau, kami sentiasa membantu mereka yang dalam kesusahan macam kami. Setiap hari kami pergi cari orang-orang yang susah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Nadzri berkata, pihaknya tidak pernah memberi sumbangan dengan jumlah yang didakwa itu.

“Finas memang ada beri sumbangan kepada Pueri Balqis, tapi tidak dengan jumlah itu. Cuma, saya tak boleh dedahkan berapa. Saya tak tahu pula kalau ada sumber lain. Itu saya tidak tahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 6:55 PM