Han Byul. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Han Byul. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin

AURA personaliti K-Pop dimiliki juara Big Stage musim kedua, Jang Han Byul ternyata satu bonus untuknya membina kerjaya seni di negara ini.

Ditambah dengan sikap mudah mesra dan petah berbicara, pemuda kelahiran Brisbane, Australia ini senang didekati.

Tahu hala tuju ingin dicapainya, Han Byul berkata, dia kini dalam perancangan muncul dengan lagu baharu untuk peminatnya.

“Walaupun lagu Luka dan Bahagia ciptaan Haqiem Rusli masih diterima baik pendengar, saya perlu buat perancangan lain.

“Antaranya, saya perlu cuba mendapatkan lagu baharu yang bagus untuk dijadikan taruhan pada masa akan datang,” katanya.

Menurut pemuda berusia 30 tahun ini, menjadi fokus utamanya berusaha memantapkan kerjaya nyanyian di negara ini.

BERSEDIA cuba pelbagai genre lagu. FOTO Aswadi Alias
BERSEDIA cuba pelbagai genre lagu. FOTO Aswadi Alias

“Saya berharap dipermudahkan perjalanan kerjanya nyanyian ini dengan memperoleh pelbagai peluang mengukuhkan nama dan bakat.

“Biarpun ada cabarannya dari aspek persaingan, saya tidak mudah berputus asa kerana yakin boleh berjaya dengan meningkatkan usaha.

“Apapun, yang pasti saya gembira sejak menjadi juara Big Stage musim kedua sokongan diterima daripada peminat tidak putus-putus,” katanya.

Bersedia mencuba pelbagai genre lagu, Han Byul juga amat berterima kasih kepada peminatnya yang tidak jemu memberi sokongan.

“Saya dapati kelompok peminat di negara ini sangat baik dan rasa bertuah. Jadi, saya nekad mahu berusaha belajar kuasai Bahasa Malaysia (BM).

“Buat masa sekarang, saya akui masih kurang fasih bercakap dalam BM, tetapi boleh faham sedikit-sedikit. Justeru, saya takkan berhenti mempelajarinya.

“Saya juga gembira boleh bertutur sedikit dalam BM dan akan pastikan ada peningkatan. Cuma, kini saya perlu masa untuk memperbaikinya lagi,” katanya.

Mengakui dia juga berminat untuk cuba berlakon, tetapi hasrat itu perlu ‘dipendam seketika’ Han Byul kerana masalah memahami BM.

Menurut Han Byul, kegagalan dia menguasai BM dengan pantas menjadikan perkara itu kekangan utama buatnya untuk mengatur langkah lebih jauh.

Sehubungan itu, video lirik rasmi lagu Luka dan Bahagia yang dimuat naik di YouTube sejak tiga bulan lalu mencatat hampir dua juta tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 7:00 AM