EILISH berkongsi kegembiraan dengan abangnya, Finneas O’Connell. FOTO Frederic J. Brown
Georgie Joseph

BARU berusia 18 tahun, penyanyi Billie Eilish berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi artis wanita pertama memenangi lima trofi termasuk empat kategori utama di Anugerah Grammy 2020 semalam.

Eilish membolot trofi Rakaman Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, dan Artis Baru terbaik selepas 62 tahun penganjuran anugerah muzik terbesar dunia berkenaan yang berlangsung di Staples Center in Los Angeles, Amerika Syarikat.

Kali terakhir kemenangan sebegitu berlaku adalah pada 1981 di mana Christopher Cross turut menyapu bersih empat kategori berkenaan.

Turut dimenangi Eilish adalah kategori Album Pop Vokal menerusi When We Fall Asleep, Where Do We Go. Album itu diterbitkan bersama abangnya Finneas O’Connell yang juga pemenang trofi Penerbit Terbaik dan Kejuruteraan Album Terbaik (Bukan Klasikal).

Menerusi ucapan mereka, O’Connell menyifatkan kemenangan terbabit sangat di luar jangkaan. Dia menjelaskan penghasilan album itu bertujuan menyampaikan pelbagai mesej mengenai cabaran hidup.

“Kami tidak hasilkan album ini untuk menang Grammy. Kami langsung tidak terfikir ia akan menang pun.

“Kami menulis sebuah album mengenai kemurungan, bunuh-diri, perubahan iklim, orang jahat atau apa-apa saja. Kami keliru namun bersyukur dapat berdiri di sini,” katanya.

PERSEMBAHAN Lil Nas X dan Billy Ray Cyrus dimeriahkan BTS, Diplo serta Mason Ramsey. FOTO Mario Anzuoni

Bukan setakat menjadi artis termuda untuk dicalonkan dalam kategori utama itu, Eilish juga menjadi artis paling muda menang semua empat trofi berkenaan.

Untuk kategori utama iaitu Rakaman Terbaik, penyanyi berusia 18 tahun itu menewaskan Ariana Grande, Bon Iver, Khalid, H.E.R., Lizzo, Lil Nas X menampilkan Billy Ray Cyrus dan Post Malone & Swae Lee.

Manakala untuk kategori artis baru, Eilish berjaya mengetepikan saingan paling dekatnya Lizzo, Black Pumas, Maggie Rogers, Rosalia, Tank and the Bangas dan Yola.

Kemenangannya sudah dijangka berikutan fenomena yang diciptanya sekarang. Eilish tidak dinafikan artis muda paling berpengaruh di seluruh dunia sekarang.

Meskipun mendapat pencalonan paling banyak iaitu lapan kategori, Lizzo juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi tiga trofi iaitu Persembahan Pop Solo, Album Kontemporari Urban dan Persembahan Tradisional R&B.

Bagi penyanyi rap Lil Nas X yang turut mendapat enam pencalonan, dia berpuas hati dengan kemenangan dua trofi menerusi Muzik Video Terbaik dan Persembahan Pop Duo/Berkumpulan.

Penyanyi itu turut menggamatkan pentas bersama Billy Ray Cyrus mempersembahkan lagu hit mereka Old Town Road. Mereka berkongsi pentas bersama BTS, Diplo dan kanak-kanak tular, Mason Ramsey.

Tampil membuat kemunculan selepas lama berehat, Demi Lovato mengagumkan semua dengan persembahan memukaunya menerusi lagu baru berjudul Anyone. Lagu itu ditulisnya sebelum dimasukkan ke hospital akibat pengambilan dadah berlebihan.

Pada acara berkenaan, situasi bertukar sebak ketika penghormatan diberikan kepada mendiang Kobe Bryant yang terkorban bersama anak perempuannya dalam nahas helikaptor terhempas pagi semalam.

Lizzo, Alicia Keys, DJ Khalid, Lil Nas X, Aerosmith dan RUN-D.M.C masing-masing sempat berkongsi kesedihan mereka atas pemergian bintang bola keranjang itu.

Anugerah Grammy edisi kali ini dihoskan penyanyi Alicia di mana turut dimeriahkan dengan persembahan hebat daripada Ariana Grande, Aerosmith, Camilla Cabello dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 8:00 AM