SHARIFAH Aminah dikunjungi DJ Dave (tengah) bersama wakil-wakli dari Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di pusat jagaan warga emas Serenity LifeCare, Lorong Travers, Bangsar. FOTO NIK HARIFF HASSAN
Ridzuan Abdul Rahman


ANAK sulung pelakon Sharifah Aminah iaitu Wan Monaliza Jamali, 52, mengaku berdepan kecaman warganet apabila mendedahkan masalah yang dihadapi keluarganya kepada masyarakat.

Wan Monaliza berkata, ibunya terlantar dalam keadaan separuh sedar akibat pendarahan otak dan serangan angin ahmar pada 13 September 2018, kini ditempatkan di pusat jagaan warga emas di ibu negara, sejak setahun lalu.

“Saya dan adik, Saifullizan, 48, buat keputusan hantar mama ke sini (tempat jagaan itu) bagi membolehkannya mendapat penjagaan khusus.

“Lima bulan mama terlantar di hospital dan akhirnya kami buat keputusan ini bertujuan untuk kebaikannya.

“Namun saya diberhentikan kerja sekitar pertengahan tahun lalu dengan pelbagai alasan dan salah satunya kerana kerap ambil cuti untuk jaga mama,” katanya.

Bermula dari situ, Wan Monaliza gagal melunaskan bayaran penjagaan yang kini sudah tertunggak mencecah hampir RM10,000.

“Apapun, saya berterima kasih kepada pihak pengurusan tempat jagaan ini kerana sanggup mengurangkan bayaran kepada RM8,000.

“Ada juga saudara mara dan teman rapat mama yang membantu tetapi jumlah diperoleh masih belum mencukupi,” katanya.

Menurutnya, bagi mencari jalan penyelesaian dia membawa masalah itu kepada umum dan apabila heboh di media sosial, tak sangka pula ia menjadi bahan kecaman warganet.

“Kami sebenarnya memang rasa berat hati nak minta bantuan. Baru keluar cerita sikit pun, dah macam-macam ayat kurang elok dilemparkan.

“Sebagai orang yang ada agama, saya tak persoalkan ujian besar Allah ini terhadap kami sekeluarga. Biarlah orang nak mengata pun.

“Tapi, apabila baca sebahagian komen warganet, kebanyakannya sangat lantang kutuk kami seperti mereka tiada emak. Segelintir (netizen) pula perempuan. Namun Alhamdulillah banyak juga yang mendoakan baik-baik buat mama,” katanya.

Terdahulu pada 3 Januari tahun lalu, Harian Metro pernah melaporkan Sharifah Aminah yang juga pelakon filem Jefri Zain (bergandingan dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin), Ceritaku Ceritamu, Mama Oh Mama dan Wira Angkasa itu dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas mengalami pendarahan otak.

Kejadian berlaku pada tarikh majlis sambutan ulang tahun kelahiran Sharifah Aminah yang diraikan rakan artis rapat dengannya Maria Kamal.

Ketika kejadian, difahamkan Sharifah Aminah sudah dua hari tidak makan ubat darah tinggi dan banyak minum teh tarik. Dia kemudiannya mengadu sakit kepala dan pengsan dalam kereta.

Sementara itu, penderitaan Sharifah Aminah mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (YKAT) yang memberikan bantuan.

Pengerusinya Datuk DJ Dave turut campur tangan untuk membantu memindahkan Sharifah Aminah daripada pusat jagaan terbabit ke rumah anaknya, hari ini.

“Namun, proses pemindahan ini terpaksa ditunda kepada hari lain memandangkan penukaran saluran tiub di leher Sharifah Aminah belum dapat dilakukan.

“Kami akan menetapkan temujanji dengan doktor kerana ia perlu dilakukan di PPUKM.

“Apapun pihak YKAT tetap menyalurkan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Wan Monaliza dan keluarga sebagai bantuan perubatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 7:46 PM