TANDUS

Ridzuan Abdul Rahman

[email protected]

PEMINAT muzik indie tentunya kenal dengan kumpulan Tandus yang tersenarai antara band ‘underground’ popular era 1990-an.

Menampilkan konsep ‘old school thrash metal’, kumpulan ini pernah menghasilkan EP berjudul Logam Maut yang diterbitkan Muzik Box Production dengan kerjasama Ultra Hingax Production.

Tandus yang sudah 25 tahun ditubuhkan, kembali bergabung menghasilkan album terbaharu berjudul Skuad Pemusnah.

Perubahan masa menyaksikan Tandus kini dianggotai Acun sebagai penyanyi utama, Ain (gitar), Atoi (gitar), Am (bass) dan Wan (drum).

Sempena pelancaran album Tandus pada 9 Februari ini, lima kumpulan lain iaitu Narsamum, Logam, Inhuman, Explicit dan Oxidicide turut diundang mengadakan persembahan istimewa di Rockin Jamz Hall, Masai, Johor .

NARSAMUN

Acun atau nama sebenarnya Nasrulhadi berkata, persembahan itu adalah hadiah mereka buat peminat yang tidak jemu menyokong perjuangan Tandus.

“Album Skuad Pemusnah seakan memberi nyawa untuk kami. Tandus juga baru selesai mengadakan ‘gig’ bersama kumpulan FTG baru-baru ini dan kami gembira dengan sambutan diterima.

“Jika sebelum ini, kami tampil dengan EP dalam bahasa Inggeris, album Skuad Pemusnah pula mengetengahkan lirik dalam bahasa Melayu,” katanya.

Wakil penganjur, Fadzil Puasa daripada Muzik Box Production berkata, persembahan itu pastinya akan menarik kehadiran ramai peminat dengan pengalaman hebat.

LOGAM

“Ini kerana selain pelancaran album Tandus, peminat yang hadir turut menikmati persembahan istimewa daripada beberapa kumpulan pemuzik lain.

“Pada saya, ia sesuatu yang jarang berlaku dalam mana-mana konsert yang pernah berlangsung sebelum ini .

“Dengan setiap pembelian tiket, peminat juga dihadiahkan sekeping cakera padat (CD) kumpulan Tandus,” katanya.

Menurutnya, walaupun berlainan konsep, gabungan enam kumpulan ini mampu menarik peminat untuk hadir.

“InHuman misalnya ditubuhkan sejak 1991 dan pernah tampil dengan EP berjudul Awakened At World’s End pada 2015. Mereka juga pernah beraksi bersama kumpulan hebat indie yang lain.

“Logam pula ditubuhkan pada 1996 dan pernah tampil dengan demo Metal Invaders 98 serta dua album kompilasi iaitu A Remembrance Of Brain Dead dan Sengatan Selatan.

“Narsamum juga bukan nama asing kerana pernah mengeluarkan demo pertama mereka berjudul Blasphemy..Revenge..Reincarnation,” katanya.

Sementara itu, dua lagi kumpulan iaitu Explicit dan Oxidicide juga mempunyai kehebatan tersendiri yang mampu memberikan kepuasan kepada penonton.

Peminat boleh mendapatkan tiket masuk berharga RM35 (termasuk CD Tandus) di pintu masuk Rockin Jamz Hall.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:30 AM