X
MAHU curah bakti buat industri hiburan. FOTO Salhani Ibrahim
MAHU curah bakti buat industri hiburan. FOTO Salhani Ibrahim
Syafil Syazwan Jefri

NAMA Fauziah Ahmad Daud atau Ogy bukan asing. Jika diukur dengan masa, tempoh kariernya sudah berlangsung hampir lima dekad sebagai anak seni.

Sebut saja filem lakonannya seperti Ali Setan dan Azura, semuanya meninggalkan impak dan masih diingati penonton sehingga hari ini.

Kini, Ogy masih aktif mengorak langkahnya dalam industri hiburan. Namun, dia tidak hanya mahu beraksi di depan kamera, tapi juga sudah tiba masanya untuk dia mencurahkan bakti buat industri hiburan.

“Saya cintakan seni. Saya lahir dari benih dan rahim orang seni. Nama Ogy itu sendiri sudah menjadi satu jenama dan kerana itu saya tak boleh melakukan sesuatu kerja dengan konsep ‘asal boleh’.

“Saya sudah terlalu lama beraksi di dalam industri seni tanah air. Jadi, saya nak lihat generasi baru berkembang dan mendidik mereka dengan cara yang betul mengenai seni persembahan,” katanya.

Menurut anak pasangan Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Allahyarham Datin Saadiah ini, kadang-kadang kritikannya untuk membina ilmu dalam diri anak seni disalahertikan.

“Apabila saya mengkritik secara lantang, ramai tak faham. Namun, kritikan saya itu ada ilmunya dan saya tahu, pengalaman yang saya ada boleh dilaksanakan sebagai ilmu dalam diri generasi baru.

“Alhamdulillah, dengan pengalaman itu juga saya dapat bertahan sehingga hari ini. Jadi, sekarang masanya untuk saya kongsikan dengan mereka,” katanya.

Terbaru, Ogy kini merencanakan acara Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia menampilkan penyanyi lelaki popular itu.

“Ini satu peluang yang diberikan kepada saya untuk mengadakan konsert ini. Saya selaku penganjur, memberi peluang dan ruang untuk mereka, artis baru bagi mengembangkan lagi kemampuan mereka.

“Kalau kita tak beri peluang, mereka takkan ke mana. Jadi, saya nak bawa nama Khai Bahar yang muncul dari aplikasi Smule ke pentas dunia,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai kerjaya seni Khai yang masih setahun jagung, Ogy berkata, dia yakin dengan kemampuan dan bakat anak Perlis itu.

“Saya pernah menemubualnya dalam program yang saya acarakan sebelum ini. Ketika itu, dia masih baru. Sekarang, saya dapat lihat kematangannya dalam berbicara dan bekerja.

“Saya beritahu kepada dia supaya melonjakkan kemampuannya ke satu tahap yang lebih tinggi kerana saya tahu dan yakin bahawa dia mampu melakukannya. Saya letakkan harapan yang tinggi kepada Khai,” katanya.

Untuk konsert ini, Ogy melantik Pat Ibrahim sebagai pengarah persembahan dan Adeep sebagai jurulatih vokal.

Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia akan berlangsung di Istana Budaya pada 27 dan 28 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 6:15 AM
Digital NSTP Subscribe