PELAKON, Ungku Ismail Aziz. FOTO Aziah Azmee
PELAKON, Ungku Ismail Aziz. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


PELAKON dan pengarah, Ungku Ismail Ungku Aziz, 35, tidak menolak jika dia mendapat peluang merakamkan lagu dan bergelar penyanyi.

Ungku Ismail yang popular dengan drama bersiri Adellea Sofea baru-baru ini berkata, jika dia berpeluang menceburi bidang nyanyian adalah untuk belajar dan tidak salah baginya menuntut ilmu.

"Saya suka belajar dan kalau ada peluang menyanyi, saya sedia mencuba kerana nak belajar dan dapatkan ilmu.

"Namun, saya terfikir juga apakah orang sanggup mendengar nyanyian saya itu jika ada rezeki jadi penyanyi .Setakat menyanyi untuk persembahan teater muzikal, saya okay kerana sudah membuat latihan awal," katanya.

Terdahulu, Ungku Ismail muncul dengan watak ahli perniagaan, Datuk Shah dalam teater muzikal Semarak Pertiwiku yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya mulai semalam dan hari ini.

Teater Semarak Pertiwiku adalah hasil ilham Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Istana Budaya.

Pada pementasan itu, selain berlakon, Ungku Ismail juga menyanyikan tiga lagu dan tak dinafikan dia memiliki vokal yang baik.

Mengulas persembahan nyanyiannya yang meyakinkan dan mendapat sorakan penonton, Ungku Ismail berkata, kebanyakan yang menjerit itu adalah ahli kelab peminatnya.

"Yang dengar bersorak riuh itu adalah peminat saya kerana saya kenal mereka. Apapun, saya ini orangnya susah terima pujian. Bagi saya, jika nak jadi penyanyi saya kena sahut cabaran itu atas sebab ingin belajar. Saya perlu dapatkan ilmu dulu," katanya.

Ditanya mengenai penyanyi diminatinya, Ungku Ismail berkata, dia sangat menggemari lagu-lagu nyanyian Datuk M Nasir dan selalu menyanyikannya di karaoke.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 12:18 PM