WALKER berkunjung pertama kali ke Sarawak.
WALKER berkunjung pertama kali ke Sarawak.
Georgie Joseph

BAGI pencinta muzik tari elektronik (EDM), pasti mengagumi DJ kelahiran Norway, Alan Walker. Lagu-lagunya tidak pernah gagal menjadi hit dan sentiasa menjadi pilihan untuk dimainkan di stesen radio.

Begitu juga di arena festival muzik, DJ berusia 22 tahun ini sentiasa menjadi pilihan utama untuk membuat persembahan.

Reputasi dibinanya menjadikan dia antara DJ muda yang berjaya mencipta legasi luar biasa.

Walker buat pertama kalinya juga bakal menjayakan festival berprestij Borneo Music Festival (BMF) Live 2020 yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak, Kuching pada 10 dan 11 April depan.

Tentu sekali pencinta muzik EDM tidak sabar untuk melihat sendiri kehebatannya memainkan lagu popularnya kelak. Apatah lagi profilnya cukup besar dan kehadirannya di festival itu begitu dinantikan.

DJ Soda
DJ Soda

Walker yang cukup dikenali menerusi lagu Faded memulakan karier sejak 2012 dan terus menjadi pujaan hingga sekarang. Corak persembahan dan pilihan lagu dimainkannya yang segar menjadi keunikan tersendirinya.

Sehingga kini lagu Faded menerima jumlah tontonan lebih 2.6 bilion di YouTube selain akaunnya memiliki lebih 32.2 juta langganan di platform berkenaan.

Tidak ketinggalan, DJ Soda dari Korea Selatan juga antara yang sah beraksi di festival terbabit. DJ wanita terkenal itu juga bukan calang-calang apabila turut menjadi rebutan dalam pelbagai festival EDM.

Profil diciptanya sudah cukup membanggakan terutama dalam kalangan warga Asia. Berusia 33 tahun, DJ Soda juga cukup berpengaruh di media sosial dan memiliki lebih 3.6 juta pengikut sekarang.

Turut beraksi pada festival itu nanti adalah bakat tempatan iaitu DJ Alexis Grace, Nicole Chen (Singapura), DJ X Factor (Filipina), DJ Venom C dan Moski Love (Indonesia), LFDY (Live Fast Die Young) dari Taiwan, serta Alex X dari China.

Manakala, beberapa penghibur tempatan seperti Rynn Lim, Thomas Jack dan Priscilla Abby juga bakal membuat kemunculan di festival ini.

Tidak dilupakan pemuzik kebanggaan Sarawak seperti At Adau, Tuku Kamek, DJ Chaca Feroza, DJ Myvax dan DJ Ice-Cream.

Borneo Music Festival Live 2020 yang ditaja Benta Mewah dan dianjurkan BME International dengan kerjasama Firmament Event Studio bersama More Entertainment ini adalah antara acara tahunan bagi menarik pelancong ke Sarawak terutama Kuching.

Penganjuran festival muzik bertaraf antarabangsa ini bertujuan menghimpunkan semua pemuzik berbakat seluruh dunia untuk mewarnai muzik tempatan sedia ada, khususnya di Sarawak.

Selain menampilkan persembahan muzik dalam skala besar, penonton juga bakal terpesona dengan ‘Dunia Borneo’ ditampilkan di Kampung Budaya Sarawak.

Dengan keluasan 6.8 hektar, ia menempatkan banyak replika rumah kaum etnik negeri di dalam satu kawasan rekreasi.

Terdapat juga bazar yang menjual pelbagai barangan menarik seperti kraf tangan, baju, makanan istimewa dan lain-lain.

Maklumat mengenai tiket dan festival muzik di airasiaredtix.com/tickets/BMFL2020 atau Instagram dan Facebook @bmfl2020.

Festival muzik ini juga hanya untuk yang berusia 18 tahun ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:20 AM