UNGKU Ismail berganding dengan Sherry Merlis.
UNGKU Ismail berganding dengan Sherry Merlis.
Norhayati Nordin

KEBANYAKAN teater muzikal yang pernah dipentaskan Istana Budaya, Kuala Lumpur sebelum ini lebih menjurus kepada kisah cinta, kasih sayang, kekeluargaan dan persahabatan.

Namun, untuk lembaran 2020 ini teater muzikal terpilih yang menjadi pembuka tirai adalah mengangkat nilai integriti sebagai subjek utama.

Ia dipertontonkan dengan jelas dalam teater muzikal berjudul Semarak Pertiwiku arahan Muhammad Azri Ali yang menggabungkan dialek Melayu Sarawak.

Berbicara mengenai naskhah Semarak Pertiwiku, Muhammad Azri berkata, teater hasil ilham Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu pernah dipentaskan tahun lalu.

ANTARA babak pementasan teater Semarak Pertiwiku.
ANTARA babak pementasan teater Semarak Pertiwiku.

“Pementasannya di Kuching, Sarawak selama beberapa malam pada Julai tahun lalu. Alhamdulillah, sambutan sangat baik dan penonton penuh dalam dewan.

“Barangkali dengan maklum balas sangat bagus itu mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berminat untuk bekerjasama dan membawa Semarak Pertiwiku dipentaskan di Istana Budaya pula.

“Apapun, saya bersyukur melihat sambutan penonton walaupun mesej integriti yang cuba disampaikan dalam teater Semarak Pertiwiku adalah berat,” katanya.

Muhammad Azri berkata, dia turut bimbang kerana teater itu menggunakan dialek Melayu Sarawak dan mungkin tidak semua penonton dapat memahami dengan baik.

“Saya berdebar juga menantikan reaksi penonton, apakah mereka mampu mendapat mesej integriti disampaikan kerana dialek Melayu Sarawak yang diguna pakai itu?

UNGKU Ismail tunjuk bakat sebagai penyanyi.
UNGKU Ismail tunjuk bakat sebagai penyanyi.

“Namun, sebaik melihat penonton terhibur, saya sangat lega. Sekurang-kurang, mereka (penonton) faham dan sekali gus mesej itu diterima dengan jelas,” katanya.

Menurut Muhammad Azri, bagi memastikan naskhah teater Semarak Pertiwiku sesuai dipentaskan di Istana Budaya, dia juga membuat rombakan pada skrip.

“Jika pementasan di Sarawak dulu, saya menggunakan 100 peratus dialog dalam Melayu Sarawak, tetapi di sini perubahan dibuat sekitar 30 peratus.

“Ia tertumpu pada watak Datuk Shah lakonan Ungku Ismail yang saya fokus dialognya menggunakan bahasa Malaysia untuk memudahkan penonton memahami jalan cerita,” katanya.

Teater sarat mesej dan iktibar kepada masyarakat berkenaan dipentaskan dua hari iaitu kelmarin dan semalam pada jam 3 petang dan 8.30 malam.

Selain Ungku Ismail, pelakon menerajui teater ini ialah Sherry Merlis, Anding Indrawani, Shah Kimin, Taufik Hanafi, Chopie Chakap dan Elya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 7:31 AM
Digital NSTP Subscribe