AWAL mahu pihak berkuasa melakukan satu tindakan untuk menamatkan isu kontroversi berkaitan kecelaruan jantina. FOTO NSTP
AWAL mahu pihak berkuasa melakukan satu tindakan untuk menamatkan isu kontroversi berkaitan kecelaruan jantina. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan pengacara, Awal Ashaari meminta pihak berkuasa supaya melakukan satu tindakan untuk menamatkan isu kontroversi berkaitan kecelaruan jantina yang kini sudah menjadi isu negara.

Awal menerusi Instagram Story tidak menyebut sebarang nama, namun menegur secara umum mengenai isu itu.

Namun, difahamkan ia berkaitan dengan tindakan usahawan kosmetik popular, Nur Sajat mengenakan pakaian jemaah wanita di Makkah ketika mengerjakan umrah sehingga tular di media sosial hingga mengundang kontroversi.

"Isu jantina pun sudah menjadi isu negara. Orang yang membuat kontroversi senyum, satu Malaysia bercakap mengenai dia. Lagi banyak orang komen, lagi banyak orang cari. Lagi banyak orang pertikai, lagi tinggi saham dia.

"Kita perlu hentikan perkara ini. Semua benda yang dia buat menjadi isu negara dan bukannya dalam aspek yang positif. Mungkin Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) boleh tolong selesaikan isu ini juga. Dulu sudah jadi isu sekali dan Jakim panggil buat pertemuan, tapi tak tahu apa keputusannya. Ini pergi umrah dan jadi isu lagi. Esok lusa, kalau dia kahwin pula akan jadi lagi?" tulisnya.

Tidak berat sebelah, Awal juga melihat dari sudut pandang individu yang dikaitkan dengan isu ini.

"Jadi, apa kata kita tolong selesaikan isu ini supaya rakyat Malaysia tidaklah terkejut dengan semua tindak tanduk dia. Kasihan juga kalau betul dia istimewa seperti yang dia katakan.

"Saya bukan nak sibuk, tapi saya penat apabila baca surat khabar, ada benda-benda yang kurang ilmiah dan mungkin tak timbul isu sekiranya ia hanya berkaitan jantinanya. Namun, isu ini menjadi kecoh kerana membabitkan agama Islam dan Tanah Suci Makkah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 5:48 PM