FAD (kiri) dan Achey bersyukur kerana sempat meraikan hari jadi arwah.
Sudirman Mohd Tahir


“ARWAH merancang nak tambah seorang lagi anak,” kata anggota kumpulan Bocey, Fad menceritakan perbualan terakhirnya dengan Allahyarham Abam sebelum dia meninggal dunia Isnin lalu.

Fad, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam berkata, perkara itu dikongsi Abam menerusi ruangan komen di Instagram Fad iaitu dua hari sebelum dia bersama keluarga bercuti ke Tokyo, Jepun pada 4 Februari lalu.

Fad berkata, kali terakhir dia berjumpa Abam pada 21 Januari lalu dan ketika itu mereka tidak seperti kebiasaan yang akan saling bersalam dan berpelukan ketika bertemu.

“Kami dijemput Ustaz Amin Idris bagi berkongsi mengenai kejayaan Bocey. Ketika itu, ustaz tegur dan cakap kenapa kami kelihatan janggal antara satu sama lain yang tidak bersalaman. Kebiasaannya kami tidak begitu. Saya pun cakap perkara sama yang turut merasa janggal. Tak sangka pula itu sebenarnya tanda arwah nak meninggalkan kami.

“Apapun saya dan Achey bersyukur kerana sempat meraikan hari jadi arwah selepas itu. Cuma ketika itu arwah biasa saja,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fad, selepas pertemuan itu, Abam terus menyepi. Malah, Abam turut senyap tanpa sebarang mesej dalam kumpulan WhatsApp mereka.

“Dalam Instagram, hantaran terakhirnya adalah enam hari sebelum dia meninggal dunia. Sedangkan, sebelum itu sehari dua kali dia akan memuat naik status. Saya tidak fikir bukan-bukan kerana menganggap dia sibuk dengan kerja.

“Ketika dia demam pun tak cakap apa-apa dalam kumpulan WhatsApp. Itulah sikap arwah yang tidak suka menyusahkan orang. Dia lebih selesa simpan sendiri. Kalau dalam Maharaja Lawak Mega pun, dia sanggup tahan. Kalau kami tak suruh rehat, dia takkan mahu,” katanya.

Dalam pada itu, Fad turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama dan memberi penghormatan terakhir buat sahabatnya itu.

Menceritakan detik itu, Fad berkata, dia yang ketika itu berada di Tokyo tidak mempercayai khabar diterima sehingga dimaklumkan sendiri oleh Ali iaitu adik Abam.

“Pada mulanya memang tak percaya sebab ia disampaikan isteri saya menerusi isteri Achey. Isteri saya kejutkan saya dalam keadaan menangis.

“Saya tanya dia kenapa dan saya tanya isteri Achey juga kenapa sehinggalah mereka menyebut nama Abam dan beritahu Abam sudah tiada. Tapi, saya tak percaya lagi.

“Saya cakap, tunggu sesiapa daripada keluarga Abam yang maklumkan baru saya nak percaya. Saya terus menghubungi Ali dan dia mengesahkan perkara itu. Saya terus jadi tidak tentu arah. Saya terus fikir, saya memang tak dapat buat apa-apa untuk Abam.

“Saya minta tolong rakan di Kuala Lumpur untuk mendapatkan tiket pulang lebih awal, tapi tetap tidak sempat. Ketika itu saya reda. Sepanjang di sana dan sampai di tanah air pun, saya cakap pada diri sendiri saya terkilan, Abam sudah tiada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 8:02 PM