Sudirman Mohd Tahir


PELAWAK Ali Puteh yang juga adik kepada Allahyarham Abam Bocey bersedia menggalas dan mengganti tempat Abam bagi komitmen kerja yang ditinggalkan.

Ali, 31, atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, dia tidak menolak jika

ada permintaan untuk dirinya berbuat demikan.

“Saya tidak tahu berapa banyak komitmen kerja yang arwah belum selesaikan. Jika pihak berkenaan perlukan pengganti dan meminta saya berbuat sedemikian, saya okey.

“Lagipun, saya berada dalam bidang sama dengannya, jadi tidak ada masalah. Saya akan cuba memberikan yang terbaik seperti mana prestasi arwah.

“Dalam masa sama, saya anggap ini tanggungjawab yang perlu dipikul mulai sekarang. Bukan saja sebagai ketua keluarga, tapi juga untuk kerja arwah lain termasuk menjaga anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan,” katanya.

Ali berkata, sebagai adik dia merasa sangat kehilangan apatah lagi Abam menjadi tulang belakang keluarga selama ini.

“Dalam keluarga, saya angah. Apabila along iaitu Abam sudah tiada, saya rasa sangat ke

hilangan. Banyak kenangan kami bersama yang sukar untuk dikongsikan. Saya masih tidak percaya dia sudah pergi meninggalkan kita. Kali terakhir kami bekerjasama pada pentas akhir Maharaja Lawak Mega 2019 lalu. Di rumah pula ketika ada makan malam bersama keluarga.

ALI memeluk ibunya ketika pengebumian Abam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Isnin lalu.

“Selebihnya kami banyak berborak dalam WhatsApp keluarga. Dia pun sibuk dengan kerja. Cuma, minggu lalu dia memang banyak tinggalkan pesan untuk saya termasuk minta saya ambil alih tugas menjaga emak yang tidak sihat,” katanya.

Menurut Ali, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak terdiri daripada keluarga, jiran, penduduk kampung, sahabat, rakan artis, pihak media dan peminat yang tanpa henti menziarahi dan mengirimkan ucapan doa kepada Abam.

“Walaupun dia pelawak, tapi sebenarnya dia pendiam. Itu ramai yang tidak tahu. Saya bersyukur apabila arwah sangat disenangi ramai. Doa dan kata-kata yang diterima buat arwah sangat dihargai. Malah, boleh dikatakan setiap masa ramai yang datang menziarah,” katanya.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor kira-kira jam 7.15 pagi Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:10 AM