X
BELLA Astillah. FOTO Mustaffa Kamal
BELLA Astillah. FOTO Mustaffa Kamal
Georgie Joseph

DEMI merealisasikan impiannya menjadi penyanyi, Bella Astillah bakal tampil dengan single sulungnya berjudul Tenang.

Menurut Bella, dia berharap lagu terbabit mampu diterima ramai memandangkan ia turut mendapat sentuhannya dengan menulis lirik.

Berdepan dengan banyak dugaan hidup beberapa tahun kebelakangan ini termasuk perceraian dengan bekas suami Aliff Aziz, dia menafikan lagu terbabit ada kaitan dengan kisah peribadi.

“Ia tiada kaitan dengan hal peribadi mengenai kehidupan saya. Lagu ini pun rentaknya tenang sesuai dengan judulnya. Ia lebih kepada perasaan saya sendiri di mana saya ketika ini tiada rasa kecewa, terdampar sepi ataupun terpinggir. Apatah lagi dengan adanya anak, Ayden dan keluarga yang tidak putus-putus memberi sokongan,” katanya.

Bella berkata, dia sebenarnya mengambil masa mengumpul keyakinan sebelum benar-benar menyanyi secara serius. Dan, ia bukan proses mudah dan sebarangan.

Menurutnya, dia bersyukur apabila mendapat pertolongan komposer Audi Mok merealisasikan hala tuju muzik diinginkan.

Katanya, dia bukan membuat lagu semata-mata mahu tular.

BAKAL tampil single sulungnya dengan lirik dihasilkan sendiri. FOTO Mustaffa Kamal
BAKAL tampil single sulungnya dengan lirik dihasilkan sendiri. FOTO Mustaffa Kamal

“Saya akui memang sangat susah mencari hala tuju muzik yang sempurna buat saya. Jadi, saya berbincang dengan Audi untuk lagu ini supaya tidak meniru sesiapa pun.

“Saya juga tidak mahu ikut trend semata-mata contohnya buat lagu berentak rancak dan ada tarian, hip hop. Niat saya buat lagu ini bukan untuk memastikan ia akan meletup,” katanya.

Bella juga menceburi bidang nyanyian bagi mencabar kemampuannya dalam bidang muzik. Jauh sekali mahu menggunakan populariti sekarang mencipta nama sebagai penyanyi.

Niatnya cuma satu iaitu mahu karyanya dihargai dan disukai. Dia juga tidak menaruh harapan untuk bersaing dengan penyanyi hebat yang sedia ada dalam industri muzik.

“Saya cuma mahu ikhlas menyanyi dan sampaikan lagu ini. Saya berharap liriknya juga mampu menyentuh hati pendengar yang mungkin melalui perkara sama.

“Disebabkan itu, saya pilih genre pop balada ala-ala genre lagu Bunga Citra Lestari. Pada masa sama, saya tidak mahu menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk popular sebagai penyanyi,” katanya.

Bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia, Bella turut berbesar hati mendapat kepercayaan daripada syarikat rakaman besar itu.

Baginya, peluang keemasan terbabit pasti tidak disia-siakan.

“Saya cuma berharap dapat pengalaman yang lebih besar selepas bersama Universal Music dan boleh pergi jauh dalam nyanyian. Ini kerana sebelum ini semua saya uruskan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Bella juga mahu fokus kepada Ayden dan menolak sekiranya tawaran lakonan menuntutnya berada di lokasi selama berbulan-bulan.

“Kalau tawaran berlakon yang menuntut tempoh penggambaran panjang, saya akan tolak buat masa ini. Tapi kalau telemovie yang hanya perlu berada di lokasi selama seminggu, saya terima.

“Saya kasihankan Ayden. Tempoh hari sewaktu saya terbabit penggambaran drama berepisod, saya nampak perubahan ketara padanya. Saya menjalani penggambaran selama tiga bulan dan jarang dapat luangkan masa bersamanya. Contohnya setiap kali bawa keluar makan, dia ajak nenek sekali dan tidak mahu berenggang,” katanya.

Bagaimanapun, dia kembali rapat dengan anaknya dan kalau boleh bawa Ayden ke mana-mana walaupun bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:15 AM
Digital NSTP Subscribe