SHAZLI Azhar sedang menyarung cincin di jari manis Emma Maembong. FOTO Ihsan Zaidi Mohd
SHAZLI Azhar sedang menyarung cincin di jari manis Emma Maembong. FOTO Ihsan Zaidi Mohd
Georgie Joseph


PELAKON Emma Maembong sah bergelar isteri kepada Muhammad Shazli Azhar, 32 , dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan di Dunia Melayu Bukit Damansara jam 11.59 pagi, hari ini.

Emma, 27, atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail yang berwalikan bapanya, Ismail Embong dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz

Pada majlis itu, Emma menerima mas kahwin RM2,000 berserta senaskhah Al-Quran berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dengan wang hantaran dirahsiakan, manakala pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang.

Pelakon Cemburu Seorang Perempuan terbabit mengakui sangat bersyukur akhirnya impian mendirikan rumah tangga berjalan lancar.

“Pada Oktober tahun lalu, keluarga Shazli datang merisik dan selepas dua bulan mengenali diri masing-masing, kami sepakat untuk berkahwin. Semuanya bagai tersusun cantik.

“Saya sukakan dia kerana dia sangat matang dan mementingkan keluarga. Dia juga enggan membuang masa dalam hubungan ini dan demikian juga saya.

“Saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami menjadi pasangan suami isteri yang sah meskipun dalam per kenalan yang singkat. Insyallah fasa baru ini akan terus mematangkan saya dan Shazli,” katanya.

FOTO Ihsan Zaidi Mohd
FOTO Ihsan Zaidi Mohd

Dalam pada itu, Shazli menyifatkan Emma menepati ciri wanita idamannya disebabkan perwatakannya yang begitu tegas tapi baik.

“Apabila membuat keputusan, dia seorang yang tegas. Dia sentiasa utamakan keluarga dan tahu apa yang diinginkan dalam hidup.

“Dia juga memiliki hati yang sangat baik dan disenangi ramai kawan,” katanya.

Pasangan itu dijadualkan bakal mengadakan majlis resepsi di Putrajaya pada 7 Mac depan manakala majlis berinai akan diadakan sehari sebelum.

Terdahulu, Emma dilaporkan bakal melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihannya dikenali sebagai Mr S yang bekerja sebagai juruterbang dan bukannya daripada kerabat diraja.

Difahamkan, majlis pernikahan itu berlangsung secara tertutup membabitkan keluarga dan rakan terdekat kedua belah keluarga saja.

Emma dan bakal suami menjalin hubungan cinta dalam tempoh singkat sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 12:40 PM
Digital NSTP Subscribe