ZIZAN Razak FOTO Aswadi Alias
ZIZAN Razak FOTO Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri


Pelakon, pelawak dan penyanyi, Zizan Razak mengucapkan tahniah kepada bekas kekasihnya, Emma Maembong selamat bernikah hari ini.

Zizan berkata, dia mendoakan semoga Emma menjadi isteri yang terbaik buat suaminya.

"Saya berbesar hati mengucapkan tahniah kepada dia. Dia ada jemput saya untuk hadir, tapi saya beritahu bergantung kepada jadual. Saya tak ada masalah untuk hadir.

"Apa pun, pastikan pasangan itu adalah pasangan yang terbaik untuk dia dan dia juga perlu pastikan menjadi yang terbaik untuk lelaki itu. Saya pun tak kenal siapa pasangannya," katanya kepada Harian Metro.

Zizan juga sentiasa mengharapkan yang terbaik bukan saja buat Emma tetapi juga seluruh keluarga pelakon itu.

"Saya harapkan yang terbaik. Kalau boleh, saya nak keluarga dia suka dan keluarga pihak lelaki juga suka dengan perkahwinan ini supaya diberikan kebahagiaan. Restu keluarga itu penting untuk memastikan rumah tangga itu harmoni," katanya.

Menyentuh mengenai keluarga, Zizan berkongsi kepentingan restu keluarga untuk mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku.

"Pada saya, perkahwinan bukan soal kepentingan kita saja tetapi, keluarga juga sangat penting. Dalam saudara mara saya sendiri pun ada yang berkahwin sekejap dan sebulan kemudian, bercerai. Semuanya berlaku kerana kepincangan dalam keluarga.

"Sekarang, saya lebih matang bercerita tentang percintaan. Apa yang berlaku, Allah dah tentukan jodoh kita. Restu keluarga sangat penting. Kalau boleh, kita tak mahu ada ibu bapa kedua-dua belah pihak yang tak restu," katanya.

Zizan dan Emma pernah menjalin cinta selama dua tahun sebelum mengumumkan perpisahan mereka pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 12:59 PM
Digital NSTP Subscribe