RIZALMAN bersara dari industri fesyen mulai malam ini. FOTO NSTP
RIZALMAN bersara dari industri fesyen mulai malam ini. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


TARIKH 20 Februari 2020 menjadi detik paling sukar buat pereka fesyen terkenal tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim, 49, apabila membuat keputusan bersara daripada industri fesyen.

Rizalman yang sudah 30 tahun berbakti dalam industri fesyen menyerahkan empayar jenama dibina kepada pembantunya dikenali Faizul Surani.

Katanya, Faizul sudah berada bersamanya membantu dan menjadi tulang belakang dalam mengukuhkan empayar jenama fesyen dibina selama 15 tahun.

"Selama saya menceburi kerjaya dalam industri fesyen ini, pernah jugalah berada dalam zon 'sombong' dengan kejayaan diri selama 22 tahun.

"Sikap sombong ini, fitrah dalam kehidupan insan bergelar manusia. Tidak banyak, sedikit mesti ada perasaan sombong itu. Apatah lagi, ketika nama berada di puncak," katanya.

Menurut Rizalman, hanya dalam tempoh lapan tahun ini beliau mula tahu 'beramah mesra' dengan masyarakat yang begitu menyokong jenamanya selepas bekerjasama dengan Zalora.

Ujarnya lagi, memang berat hati untuk membuat keputusan mengundur diri daripada bidang kerjaya diminati tetapi kini sudah masanya.

Terdahulu, Rizalman berganding dengan penyanyi popular Dayang Nurfaizah menjayakan Konsert Kesuma Jiwa di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Ibni Almarhum Al- Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al Haj turut mencemar duli.

Rizalman juga menyumbangkan sebanyak RM50,000 hasil daripada jualan tiket konsert itu ke Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 11:57 PM
Digital NSTP Subscribe