KEK perkahwinan Zahirah dan Aiman yang berbentuk chandelier. FOTO Instagram
KEK perkahwinan Zahirah dan Aiman yang berbentuk chandelier. FOTO Instagram
Syafil Syazwan Jefri


MAJLIS resepsi pasangan pelakon, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson yang berlangsung semalam mencuri tumpuan terutama kek perkahwinan yang berbentuk lampu chandelier.

Pada upacara memotong kek, kedua-dua mempelai nampak terkejut apabila kek perkahwinan diturunkan dan bentuknya dalam keadaan terbalik.

Dihasilkan pereka kek, Lily & Lola Cakes yang sering menghasilkan kek untuk majlis perkahwinan selebriti, idea itu mengambil masa selama tiga tahun.

"Kek chandelier impian kami menjadi kenyataan di majlis perkahwinan Zahirah MacWilson. Idea untuk melengkapkan impian penghasilan kek ini mengambil masa tiga tahun dan sentuhan terakhir diberikan pada saat akhir sebelum majlis," tulis pereka itu di Instagram.

Menerusi status sama, Lily & Lola Cakes berkata, pengantin perempuan langsung tidak menyedari kewujudan kek unik itu sebelum sesi memotong kek berlangsung.

"Pengantin perempuan tak sedar akan kewujudan kek itu yang tergantung di bahagian siling sepanjang majlis berlangsung. Ia umpama satu magis apabila diturunkan untuk sesi memotong kek," tulisnya.

Kek unik berperisa vanila itu dihasilkan tujuh tingkat secara menurun dari bahagian terbesar berada di tingkat paling atas, manakala bahagian paling kecil di bahagian bawah.

Secara tak langsung, ia menampakkan kek itu disusun secara terbalik dan kelihatan seperti lampu chandelier gergasi yang mewah.

Terdahulu, Aiman dan Zahirah selamat dinikahkan kelmarin dengan hanya sekali lafaz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 4:06 PM