PERSEMBAHAN penutup daripada semua artis yang terlibat.
PERSEMBAHAN penutup daripada semua artis yang terlibat.
Oleh Norhayati Nordin


PUAS, gembira dan sangat menghiburkan. Itu perasaan yang mungkin dirasakan penonton pementasan muzikal fesyen, Kesuma Jiwa di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) Khamis lalu.

Persembahan istimewa untuk satu malam itu menggabungkan dua figura terkenal iaitu Datuk Rizalman Ibrahim dari bidang rekaan fesyen dan penyanyi, Dayang Nurfaizah.

Sepanjang menyaksikan persembahan ini, apa yang boleh dikatakan perancangan untuk penganjurannya sangat teliti.

Pendekatan cerita diketengahkan, jelas menjurus pada elemen persahabatan dan silaturahim yang terjalin. Siapa sangka, sudah dua dekad Rizalman dan Dayang bersahabat baik.

Mengulasnya, Rizalman berkata, dia kagum dengan kelunakan vokal Dayang yang mula didengari pada satu acara hiburan. Sejak itu, dia yakin Dayang berpotensi pergi lebih jauh.

“Apapun, saya gembira melihat kerjasama dengan Dayang untuk pementasan Kesuma Jiwa ini berjaya. Ia ternyata di luar jangkaan saya.

DAYANG dan Hael berduet.
DAYANG dan Hael berduet.

“Ini kerana saya hanya pereka fesyen dan tidak mahir pula menyanyi. Namun, melihatkan pada sokongan, saya yakin ikatan silaturahim yang membawa kita semua berkumpul menyaksikan pementasan ini.

“Terima kasih tidak terhingga diucapkan pada sokongan diberi. Saya bersyukur kerana apa yang diusahakan untuk direalisasikan pada pementasan Kesuma Jiwa berhasil,” katanya

Memilih lagu, lirik, adegan filem dan cara seniman tersohor negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjenaka, Rizalman berkata, perjuangan seni arwah baginya sangat hebat.

“Secara peribadi, saya melihat P Ramlee sebagai insan seni yang mempunyai wawasan dan misi yang besar. Malah, hingga sekarang karyanya masih segar dan terus diminati.

“Cuma, sayangnya arwah sudah tiada dalam perkembangan industri hiburan masa kini. Namun, saya yakin sekiranya arwah masih ada pasti boleh membuat lebih baik lagi untuk industri,” katanya.

Pada persembahan muzikal itu, Rizalman turut menampilkan lebih 80 rekaan fesyen sentuhannya yang menarik, elegan dan mempesonakan.

Turut memuatkan 16 lagu yang gemersik didengar penonton, 11 lagu daripadanya diiringi vokal Rizalman berpadu dengan Dayang di atas pentas.

Pun begitu, di akhir persembahan penonton dikejutkan dengan pengumuman Rizalman mahu bersara daripada industri fesyen.

Biarpun ia bukan keputusan mudah, Rizalman beranggapan ini waktu sesuai dia berbuat sedemikian di saat namanya masih di puncak.

Rizalman yang juga ikon fesyen tanah air tetap sedia berkongsi ilmu dan pengalamannya dengan pereka fesyen muda. Katanya, beliau bangga melihat industri fesyen tanah air yang semakin berkembang maju.

RIZALMAN membuat kejutan dengan ‘terbang’ sambil bermain biola.
RIZALMAN membuat kejutan dengan ‘terbang’ sambil bermain biola.

Dayang hormat keputusan Rizalman

Biarpun terkejut dan tidak menduga pengumuman bersara dibuat Rizalman, bagi Dayang ia wajar untuk dihormati semua pihak.

Kata penyanyi lagu Di Pintu Syurga ini, dia yakin Rizalman sudah memikirkan dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan berat itu.

“Saya terkejut, tapi pada masa sama menerima keputusan itu kerana percaya ia sudah difikirkan sebaik mungkin. Bagi saya, sebagai sahabat saya akan terus bekerjasama.

“Ikatan silaturahim yang sudah dijalin lama sebelum ini takkan terputus. Sebagai sahabat rapat, saya akan terus menyokong Rizalman.

“Bagi saya, Rizalman seorang yang berwawasan. Apatah lagi, dia ada perancangan tersendiri yang lebih baik untuk hidupnya,” kata Dayang.

Sehubungan itu, legasi empayar fesyen dibina Rizalman sejak 30 tahun lalu diserah kepada pembantunya dikenali, Faizul Surani untuk diteruskan.

RIZALMAN dan Dayang sudah bersahabat sejak 20 tahun lalu.
RIZALMAN dan Dayang sudah bersahabat sejak 20 tahun lalu.

Malah, tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Ibni Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al Haj turut mencemar duli.

Rizalman juga menyumbangkan RM50,000 hasil daripada jualan tiket konsert itu ke Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Pementasan Kesuma Jiwa turut mendapat sentuhan Pengarah Muzik, Ahmad Muriz Che Rose dan Penasihat, Pengarah Vokal Koir Kebangsaan, Datuk Syafinaz Selamat.

Disaksikan lebih 2,000 penonton, antara lagu dipersembahkan ialah Tari Tualang Tiga, Mengapa Dirindu, Hati Ke Hati, Itulah Sayang, Bisikan Hati, Laksamana Raja Di Laut, Gurindam Jiwa, Joget Pahang dan Selamat Tinggal Bungaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe