PERSEMBAHAN Raihan ketika bersama peminat di Rahsia Revealed, Kuala Lumpur. FOTO Amirudin Sahib
PERSEMBAHAN Raihan ketika bersama peminat di Rahsia Revealed, Kuala Lumpur. FOTO Amirudin Sahib
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


MELIHATKAN kepada pencapaian mereka yang mencipta nama hingga luar negara, maka sewajarnya kumpulan Raihan mempunyai galeri khas bagi menempatkan bahan dokumentasi mereka untuk tatapan masyarakat.

Mengimbas sejarah Raihan, kerjaya seni mereka yang bermula pada 1996, berjaya menjangkau enam benua.

Mereka mengembara dengan berbekalkan lagu nasyid atas tujuan menghibur sambil berdakwah.

Raihan juga sebuah jenama yang tiada tandingan hingga kini. Ketika pelbagai kumpulan nasyid baharu timbul, mereka tetap diminati daripada kanak-kanak hingga orang dewasa termasuk warga emas.

Justeru, anggotanya iaitu Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim melahirkan perasaan gembira apabila seorang individu bermurah hati mewujudkan sebuah mini galeri Raihan di sebuah premis perniagaannya.

“Alhamdulillah, kami gembira di atas peluang diberi Datuk Fauzi, pemilik Rahsia Revealed di Jalan Damai Off Jalan Ampang yang buka pintu di premisnya dengan meletakkan poster Raihan ketika persembahan di luar negara.

PEMINAT bergambar dengan Raihan di Rahsia Revealed, Kuala Lumpur. FOTO Amirudin Sahib
PEMINAT bergambar dengan Raihan di Rahsia Revealed, Kuala Lumpur. FOTO Amirudin Sahib

“Sesiapa yang nak lihat sejarah Raihan yang dilalui selama 24 tahun, semuanya ada di sana. Mungkin tak semua kerana kami pamerkan apa yang ada bukan tujuan nak wujudkan galeri besar.

“Di bahagian atas premis pula, menempatkan galeri Raihan merangkumi lirik lagu Raihan ditulis dalam bentuk khat atas kanvas dan dijual kepada mereka yang berminat,” kata Che Amran pada majlis Santai Bersama Peminat Raihan, baru-baru ini.

Raihan yang melonjak dengan lagu Puji Pujian, Iman Mutiara dan Syukur berkata, tiada tempoh atau tarikh tertentu dibincangkan untuk mereka mempamerkan bahan dokumentasi di
premis terbabit.

“Kerjasama ini berterusan selagi mampu. Orang ramai boleh hadir melawat pada masa tertentu yang ditetapkan memandangkan tempat ini sesuai untuk aktiviti perjumpaan, keraian dan kenduri.

“Tidak terkecuali, disediakan juga kafe yang mana peminat boleh hadir untuk menikmati hidangan enak dan seterusnya meninjau bahan pameran Raihan. Mungkin akan datang nanti, kami berada di sini untuk bertemu peminat.

KERJAYA seni menjangkau enam benua. FOTO Amirudin Sahib
KERJAYA seni menjangkau enam benua. FOTO Amirudin Sahib

“Malah, kami juga merancang nak adakan majlis buka puasa dan sambutan hari raya nanti. Maksudnya, kami (Raihan) sudah ada tempat khas untuk majlis ramah mesra,” katanya.

Pada masa sama, Raihan kini aktif mengendalikan perniagaan antaranya menghasilkan baju jenama Raihan dan tulisan khat.

“Itu sebahagian daripada sumber pendapatan sampingan, tapi fokus utama kami masih kepada nyanyian dan menghasilkan lagu,” kata Che Amran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 7:00 AM
Kabinet Malaysia 2020