AWIE (tengah) pada sidang media konsert Apologia Search & Awie akan diadakan pada 13 Mac 2020 di Publika KL. Turut serta ahli Kumpulan Search Kid (kiri) dan Nasir Daud. FOTO ROHANIS SHUKRI.
AWIE (tengah) pada sidang media konsert Apologia Search & Awie akan diadakan pada 13 Mac 2020 di Publika KL. Turut serta ahli Kumpulan Search Kid (kiri) dan Nasir Daud. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Ridzuan Abdul Rahman


“SIDANG media kami petang ini bukan untuk isytiharkan apa-apa. Termasuk, untuk cari masalah atau memburukkan keadaan.

“Kami berada di sini secara profesional dan keputusan yang dibuat adalah profesional,” kata pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud ketika mengulas ketiadaan vokalis utama, Amy bersama mereka.

Kumpulan rock legenda itu tampil dengan projek terbaru, Konsert Apologia Search & Awie yang menampilkan Awie sebagai penyanyi.

Konsert anjuran Imaginex yang kembali menemukan Search dan Awie selepas album projek berjudul Bikin Wilayah pada 1998, akan berlangsung di The Bee, Publika, Kuala Lumpur pada 28 Mac ini.

Menurut Nasir lagi, mereka tidak mengetepikan Amy, sebaliknya penyanyi itu sendiri tidak dapat memberikan komitmen terhadap projek berkenaan.

“Dia (Amy) tidak dapat beri komitmen terhadap Search buat masa ini. Namun, hidup perlu diteruskan.

“Apatah lagi, kami akan menghampiri 40 tahun penubuhan Search pada 2021 nanti dan mulai sekarang, kami kena bergerak terus.

“Kami tidak boleh duduk diam, dah sampai masanya Search harus keluar. Disebabkan kesibukan Amy inilah, kami buat keputusan tampil dengan projek bersama Datuk Awie,” katanya.

Nasir berkata, biarpun perbincangan dengan Amy menemui jalan buntu, dia perlu memikirkan hala tuju kumpulan Search sekarang.

“Dia memang tak boleh bagi komitmen. Adakah kami nak tunggu setahun dua lagi?

“Dah tentu hanya tinggal saya, Din dan Kid dalam Search. Jadi, pada 2020 ini kami fikir harus keluar, bergerak dan jalan terus.

“Pengurusannya, beritahu Amy sibuk dan tidak boleh bagi apa-apa komitmen. Ini yang buat saya rancang projek dengan Awie,” katanya.

Menurut Nasir lagi, peminat Search memberikan maklum balas yang positif terhadap projek ini.

“Mereka suka tengok ada gabungan dua ikon di sini. Malah, kami akan menghidangkan rangkaian lagu popular yang dah lama tak didengar,” katanya.

Awie pula, meminta agar tiada mana-mana pihak mengeruhkan lagi keadaan dengan melaga-lagakan mereka dalam isu itu.

“Ini (kerjaya seni) adalah punca rezeki kami semua. Kita perlukan bantuan semua supaya projek Konsert Apologia Search & Awie ini jadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Imaginex, Amir Shah Daud berkata, pihaknya merancang akan mengadakan konsert berkenaan lebih dari satu malam jika jualan tiket mendapat sambutan menggalakkan pada 10 hari pertama dibuka.

Tiket konsert istimewa itu berharga RM299 (VIP) dan RM199 (Rock Zone) boleh didapati di www.ilassotickets.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 8:22 PM
Digital NSTP Subscribe