PELAKON, Intan Najuwa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Intan Najuwa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


"APA punca sebenar saya putus tunang, biarlah kami bersama keluarga saja yang tahu," kata pelakon Intan Najuwa, 23, yang mengesahkan dia sudah putus tunang dengan ahli perniagaan, Razrul Anwar Rusli, 39.

Intan ketika dihubungi memaklumkan mereka putus tunang kerana sudah tidak ada persefahaman.

“Walaupun sudah putus tunang, tetapi kami serta keluarga kedua belah pihak baik-baik saja. Saya anggap kami tiada jodoh," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia dan Razrul ke Makkah mengerjakan umrah awal Februari lalu, Intan menafikannya.

"Saya ke sana bersama keluarga. Dia (bekas tunang) tidak menyertai rombongan itu. Saya terima, kami tidak ada jodoh kerana ketentuan Allah SWT. Kini, fokus saya hanya pada keluarga dan kerjaya lakonan," katanya.

Intan sebelum ini mengikat pertunangan dengan ahli perniagaan berasal dari Johor itu pada 18 Ogos tahun lalu.

Majlis pertunangan serba mewah dan meriah mereka dibuat secara tertutup di hotel terkemuka di Johor Bahru yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Teka-teki keretakan berlaku pada ikatan pertunangan Intan dan Razrul mula tercetus selepas aksi 'terlebih mesra' Intan bersama Zul Ariffin tahun lalu.

Intan yang ketika itu berstatus 'tunang orang' dipalit kontroversi melakonkan babak mesra bersama Zul ketika mereka membintangi drama Setelah Ku Dimiliki untuk slot Akasia TV3.

Sebelum aksi dengan Zul, Intan terlebih dulu dipalit kontroversi sama iaitu berlakon terlebih mesra dengan Idris Khan dalam drama Tuan Daniel.

Insiden beberapa kontroversi dihadapi Intan itu dikatakan pernah menyebabkan Razrul terasa hati.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan komen Razrul tidak berjaya apabila mesej di aplikasi WhatsApp tidak dibalas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:17 PM
Digital NSTP Subscribe