ALI Puteh.
ALI Puteh.
Syafil Syazwan Jefri


PELAWAK Ali Puteh belum menerima sebarang panggilan daripada pihak usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang sebelum ini bersetuju untuk bertemu dengan Ali dan ibunya, Sabariah Arshad bagi menjernihkan keadaan.

Ali ketika dihubungi berkata, sekiranya usahawan itu ingin bertemu dengan mereka, dia boleh menghubunginya.

"Belum ada apa-apa panggilan lagi. Tak perlu juga kalau pihak saya yang nak kena hubungi dia. Kalau dia nak datang, dia datang," katanya kepada Harian Metro.

Ali berkata, dia tidak bersetuju sekiranya pertemuan antara mereka dengan Aliff dirakam.

"Kalau dia nak datang bertemu saya dan rakam, saya tak mahu kerana itu adalah satu bentuk publisiti," katanya yang juga adik kepada Allahyarham Abam Bocey.

Ditanya mengenai hubungan antara keluarganya dengan kakak ipar yang juga balu Allahyarham, Siti Nurhidayah Mohd Ali, Ali berkata, semuanya masih dalam perbincangan keluarga.

"Belum ada apa-apa lagi maklumat yang boleh saya kongsikan setakat ini kerana kami masih berbincang bersama keluarga. Saya tak mahu menimbulkan apa-apa isu lagi sekiranya saya keluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Isnin lalu, Aliff mengadakan sesi sidang media di pejabatnya di Kota Damansara untuk memohon maaf dan terbuka untuk bersua muka dengan Ali, ibunya dan Nurhidayah untuk menjernihkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:22 PM
Digital NSTP Subscribe