AISHAH Sinclair.
AISHAH Sinclair.
Syafil Syazwan Jefri


“BUNGA kini berada dalam keadaan baik. Setiap hari, keadaannya bertambah kuat. Dia juga sentiasa bercerita kepada Noah keadaan yang berlaku dan setiap hari untuk memastikan Noah faham mengenai pemergian bapanya.”

Demikian kata penyampai radio, Aishah Sinclair mengenai kakak iparnya yang juga penyanyi dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari selepas kehilangan suami, Allahyarham Ashraf Sinclair, 18 Februari lalu.

Menurut Aishah, mereka sekeluarga baru tiba di Kuala Lumpur dari Jakarta semalam dan sentiasa bersama Bunga sepanjang di sana.

Bercerita mengenai keperibadian Ashraf ketika hayatnya, Aishah berkata, abangnya adalah lelaki yang bertanggungjawab.

"Selain bertanggungjawab, dia juga suka membantu orang lain. Saya bersama dengannya sepanjang hayat dan banyak kenangan bersama arwah.

"Kalau boleh, saya nak jadi seperti dia. Kalau tidak sepenuhnya pun, dapat jadi separuh daripada keperibadian seperti arwah pun sudah cukup," katanya.

Aishah turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin atas pemergian Allahyarham.

"Dia bukan saja disayangi di Malaysia, tetapi juga di Indonesia. Ketika kami di Jakarta, ada jiran yang mengadakan majlis tahlil, bacaan Yasin dan doa selamat untuk arwah. Terima kasih kepada jiran-jiran yang sentiasa mendoakan kesejahteraan arwah," katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Mohamed Anthony John Sinclair berkata, Ashraf ada menghubunginya menerusi WhatsApp memaklumkan mengenai hasratnya untuk membawa bapanya mengembara bersama ke Scotland.

“Ketika itu, dia baru pulang dari New York. Katanya, di sana dia berjumpa seorang lelaki yang berkongsi pengalaman mengembara ke Scotland bersama bapanya. Jadi, dia menyimpan impian untuk membawa saya mengembara ke sana seperti mana orang yang ditemuinya itu. Namun, impian hanya tinggal impian apabila beberapa hari kemudian, saya ke Jakarta menghadiri upacara pengkebumiannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat anjuran TGV Pictures, Primeworks Studios, Infinitus dan Sunstrong Entertainment di Masjid Al-Ghuffran, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Selain Aishah dan bapanya, turut hadir adalah adiknya, Adam Youssof Mohamed Sinclair yang juga suami kepada penyanyi, Yuna.

Berita pemergian Ashraf mengejutkan seluruh industri hiburan tanah air dan Indonesia dan kematiannya memberi kesan kepada ramai orang.

Ashraf juga antara pelakon utama dalam filem terbaru terbitan Primeworks Studios and Infinitus Production iaitu J-Retribusi yang dijangka bakal ditayangkan dalam tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 10:14 PM
Digital NSTP Subscribe