Norhayati Nordin

"SAYA tak nak tahu apa-apa cerita pun, apa yang lebih saya fikir sekarang mengenai arwah anak yang sudah meninggal dunia itu.

"Sekarang, saya dah hilang tempat bergantung. Saya perlu memikirkan keadaan diri sendiri. Kesedihan yang ditanggung ini pun belum hilang lagi," kata ibu Allahyarham Abam, Sabariah Arshad, 63.

Sabariah ditemui media selepas majlis tahlil Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan, 32, di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur anjuran Astro.

Menurut ibu kepada empat ini, dia pun tidak tahu membaca. Cuma, segala situasi cerita yang berlaku diketahui melalui penceritaan anaknya, Ali Puteh.

"Selama ini pun, dalam telefon saya hanya ada nombor anak-anak saja yang disimpankan oleh Allahyarham Abam untuk memudahkan saya menghubungi mereka.

"Cuma seminggu sebelum Abam meninggal dunia, nombor telefon arwah hilang tiba-tiba dan saya memang tak dapat menghubunginya. Tapi, arwah tak pernah lupa telefon saya," katanya.

Mengulas juga tindakan menantunya, Nor Hidayah MohdAli yang bertindak keluar dari rumah selepas kematian Abam, Sabariah berkata terserah apa yang nak dilakukan wanita itu.

"Lantak dia lah, dia nak keluar ke, tak nak keluar ke, saya tak ada cakap apa pun. Saya tak hirau," katanya.

Ujarnya, lebih baik dia dan Hidayah, masing-masing tidak berhubung selepas pemergian Abam.

SABARIAH (tengah) pada sidang media selepas majlis tahlil Allahyarham Abam Bocey di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO ASwadi Alias
SABARIAH (tengah) pada sidang media selepas majlis tahlil Allahyarham Abam Bocey di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO ASwadi Alias

Sebelum ini, kisah keluarga Ali menjadi perhatian warganet apabila usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri menyiarkan temu bual bersama Hidayah secara langsung di media sosialnya.

Dalam temu bual itu, ada soalan ditujukan Aliff berkaitan isu sensitif membabitkan harta pusaka.

Insiden tercetus itu, bagaimanapun menjadi tegang sehingga berlaku perbalahan di antara kedua-dua keluarga dan menjadi bualan hangat daripada warganet.

Allahyarham Abam meninggal dunia secara mengejut pada 10 Februari lalu di kediamannya akibat demam panas.

Ketika pengebumian anggota kumpulan Bocey itu, lebih 2,000 orang mengiringi jenazah Abam dari masjid hingga ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 11:30 PM